Kecoh insiden rakam video pengguna stesen minyak dalam tandas


  • Tular
  • Rabu, 06 Okt 2021

TANGKAP layar menunjukkan suspek dikepung orang ramai sementara menunggu ketibaan polis. — Facebook

SEORANG lelaki ditangkap orang ramai selepas dipercayai merakam pengguna tandas lain di salah sebuah stesen minyak di Batu 3, Shah Alam, Selangor malam Selasa.

Tangkapan itu turut dirakam dan video berkenaan tular di media sosial malah turut dikongsikan di page Facebook, Info Jenayah Terkini Seluruh Malaysia.

“Suspek telah ditahan polis. Kejadian berlaku di Shell Batu 3 Shah Alam Selangor kelmarin,” menurut kapsyen video yang dimuatnaik.

Menerusi video yang dikongsikan itu, dapat dilihat individu yang bertindak menangkap suspek memintanya menekan nombor pin keselamatan telefon bagi melihat sendiri rakaman yang mungkin sudah dilakukan.

Selepas berjaya dibuka, dapat didengar suara salah seorang individu yang menangkap suspek mengatakan ada 200 video di dalam telefon.

Tidak dapat dipastikan situasi sebenar yang berlaku dan menerusi video sama, orang ramai sedang mengepung suspek bagi mengelakkannya lari sebelum polis tiba.

“Orang b***k pun kau rakam. Settle dengan polis, tak payah menangis,” menurut satu suara yang terdapat dalam video berkenaan.

Difahamkan, suspek telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa berhubung kejadian itu setakat ini. – Majoriti

rakam, stesen minyak, video tular