Suspek edar dadah mati ketika diserbu polis


  • 112
  • Rabu, 06 Okt 2021

SUSPEK disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan pada kira-kira 5 petang.

POLIS mengesahkan seorang suspek yang dipercayai terbabit dalam pengedaran dadah meninggal dunia selepas rebah dan tidak sedarkan diri ketika tangkapan dilakukan pada petang Selasa.

Ketika serbuan dibuat ke atas rumah flat yang dipercayai didiaminya di Taman Dato Senu, Sentul di ibu negara, suspek didapati rebah dan tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata, suspek disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan pada kira-kira 5 petang.

"Polis menahan suspek berusia 45 tahun itu dan dia bertindak agresif dengan mencapai sebilah sabit, bertujuan hendak menyerang pasukan polis.

"Dalam usaha menahan suspek, polis menggunakan kekerasan minimum serta merampas sabit berkenaan.

“Pada masa sama, polis mendapati suspek secara tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri,” katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Hasil pemeriksaan lanjut, Azmi berkata, pihaknya menemui dadah jenis syabu seberat 51.24 gram dan heroin, 1.97 gram.

Kes berkenaan disiasat dmengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan mengklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut sehingga laporan bedah siasat diperoleh dari Hospital Kuala Lumpur. - Majoriti