POLIS berjaya membongkar satu sindiket yang menjalankan aktiviti pengedaran dadah dengan merekrut warga asing dan penganggur, selepas penahanan tiga ahlinya bersama rampasan dadah bernilai lebih RM270,000 dalam dua serbuan di sekitar Lahat, Ipoh pada Isnin.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, serbuan pertama dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sebuah premis di Bandar Lahat Mines kira-kira jam 5 petang, yang membawa kepada penahanan seorang lelaki warga India berusia 40 tahun.
"Hasil pemeriksaan di dalam kedai itu telah menemukan 62 ketulan mampat daun-daun kering yang disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 62 kilogram (kg) yang bernilai hampir RM250,000,” katanya dalam sidang media pada Rabu.
Beliau berkata, pihaknya turut menjalankan serbuan susulan di sebuah rumah di sekitar Lahat dan berjaya menahan seorang wanita tempatan serta wanita warga Indonesia berusia 21 dan 26 tahun, yang dipercayai dari kumpulan sindiket yang sama.
Menurutnya, dalam serbuan kedua itu, polis merampas dadah disyaki pil yaba berjumlah 1,400 biji yang dianggarkan seberat 161 gram (g) dan ganja seberat 2.05g yang bernilai sebanyak RM28,102.50.
Mior Faridalathrash berkata, pihaknya turut menyita sebuah lori, kereta, dua motosikal serta barang kemas bernilai RM86,663, dan saringan ujian urin yang dijalankan mendapati ketiga-tiga suspek itu negatif dadah serta tiada rekod jenayah lampau.
"Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini boleh digunakan untuk 151,400 penagih dadah dan disyaki diperoleh dari utara Semenanjung Malaysia untuk diedarkan di pasaran tempatan. Mereka dipercayai sudah menjalankan kegiatan ini sejak tiga bulan lalu,” katanya.
Katanya, semakan lanjut mendapati lelaki warga India yang sudah berada di negara ini sejak 2014 dan wanita warga Indonesia yang tinggal di negara ini sejak April lalu mempunyai pasport namun tidak memiliki visa yang sah.
"Kesemua suspek yang tidak mempunyai pekerjaan itu telah direman selama enam hari bermula semalam sehingga Ahad ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mandatori iaitu gantung sampai mati. — Bernama