DUN Melaka sah bubar


  • Berita
  • Selasa, 05 Okt 2021

AB Rauf mengesahkan sepucuk surat dikemukakan kepada Mohd Ali berhubung keputusan empat ADUN berkenaan. — Bernama

DEWAN Undangan Negeri (DUN) Melaka sah dibubarkan pada 4 Oktober bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam telah membuat pertimbangan dan bersetuju untuk membubarkan DUN susulan nasihat daripada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada Isnin.

"Sepucuk surat telah dikemukakan kepada Mohd Ali yang memaklumkan empat ADUN telah mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Sulaiman dan pada masa sama meminta perkenan untuk pembubaran DUN," katanya dalam sidang media di Seri Negeri, Melaka pada Selasa.

Proklamasi Pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka yang Keempat Belas diwartakan pada 5 Oktober.

Pada sidang media berkenaan, Ab Rauf turut menyerahkan proklamasi pembubaran DUN Melaka kepada Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Melaka, Rudy Rohan Johan @ Ganesan.

Sewaktu ditanya tentang pelaksanaan PRN dalam tempoh pandemik Covid-19, Ab Rauf menjelaskan SPR boleh mencadangkan prosedur operasi standard (SOP) kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

"Buat masa ini, kerajaan negeri sedia ada akan menjadi kerajaan sementara sehingga PRN dilaksanakan," menurutnya.

Semalam, empat ADUN Melaka mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman iaitu Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Sebelum ini, kerajaan Melaka pimpinan Barisan Nasional (BN) diwakili 17 ADUN yang terdiri daripada 14 ADUN Umno, Bersatu (dua) dan Bebas (satu) manakala pembangkang mempunyai 11 kerusi iaitu DAP (tujuh), PKR (dua) dan Amanah (dua). — Majoriti

Ab Rauf Yusoh, Mohd Ali Rustam, DUN, Melaka, bubar