JADIKAN apa yang berlaku di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada tahun lalu sebagai satu pengajaran sebelum mengadakan PRN di Melaka, tegas pakar akademik.
Ini kerana keputusan kerajaan mengadakan PRN Sabah pada hujung September tahun lalu, mengundang kecaman rakyat ekoran peningkatan mendadak kes penularan Covid-19 di negara itu.
Peningkatan itu berlaku hanya beberapa minggu selepas Malaysia berjaya melandaikan lengkungan kes baharu wabak itu.
Oleh itu, Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Melaka, Prof. Dr Nik Ahmad Kamal bin Nik Mahmod mencadangkan supaya PRN Melaka ditangguhkan terlebih dahulu sehingga keadaan mengizinkan.
Menurut beliau, pada ketika ini negara belum bebas sepenuhnya daripada pandemik Covid-19 dan tidak mustahil kesilapan pada PRN Sabah boleh berulang kembali.
NIK Ahmad Kamal mencadangkan supaya PRN Melaka ditangguhkan sebaiknya hingga tahun hadapan. — Agensi
"Secara peribadi, eloklah ditangguhkan terlebih dahulu PRN di Melaka dan biarlah kerajaan sementara atau 'caretaker' mengambil alih pentadbiran negeri itu buat masa ini.
"Walaupun ketika ini kes sudah menurun tapi ia masih dalam angka yang besar (ribu), jadi sebaiknya anjurkan PRN pada tahun depan atau apabila keadaan betul- betul selamat," katanya kepada Majoriti.
Tambah Nik Ahmad Kamal lagi, punca kes meningkat pasca PRN Sabah disebabkan oleh aktiviti kempen parti yang berlangsung sepanjang tempoh sebelum hari mengundi.
Jelasnya, masalah utama kempen adalah melibatkan ramai orang yang berkumpul semasa aktiviti perhimpunan atau lawatan rumah ke rumah.
"Jika PRN diadakan sudah pasti wakil-wakil parti akan turun padang ke Melaka untuk melaksanakan kempen dan ini mengundang kepada risiko penyebaran virus.
"Ini merupakan masalah utama kempen yang perlu diperhalusi dalam menetapkan prosedur operasi standard (SOP) untuk PRN Melaka jika ia perlu dianjurkan," ujarnya.
Katanya lagi, jika Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merasakan situasi pandemik semasa boleh dikawal dan PRN selamat untuk dilaksanakan maka SPR perlu adakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari.
"Jika keadaan dirasakan selamat oleh MKN dan KKM maka satu SOP yang lebih ketat dan diperhalusi perlu disusun supaya kita tidak perlu berdepan gelombang baru Covid-19.
"Cadangan saya sebaiknya kempen diadakan secara dalam talian atau menerusi edaran poster mahupun risalah dan jika mahu lakukan kunjungan rumah ke rumah, hanya melibatkan kumpulan kecil (dua atau tiga orang) dengan kepatuhan kepada SOP," jelasnya.
Kongsinya lagi, jika ditangguhkan, Yang Dipertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri perlu mengisytiharkan darurat di negeri Melaka dan melantik kerajaan sementara untuk mentadbir negeri itu.