AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Barisan Nasional (BN) dan Umno yang mengkhianati kerajaan pimpinan parti diharap bersedia menerima tindakan pemecatan, kata Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut beliau, Adun BN dan Umno yang terlibat menarik kepercayaan terhadap pimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali akan menerima surat pemecatan daripada parti.
"Mana-mana Adun atau ahli Parlimen hendaklah fokus kepada pegangan taat setia kepada parti terutama apabila parti itu adalah Umno dan BN," katanya
Beliau berkata demikian pada sidang media susulan pembubaran kerajaan negeri Melaka di bawah pimpinan kerajaan Barisan Nasional.
Terdahulu Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka sah dibubarkan pada 4 Oktober bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.
Semalam, empat ADUN Melaka mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman iaitu Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).
Sebelum ini, kerajaan Melaka pimpinan Barisan Nasional (BN) diwakili 17 ADUN yang terdiri daripada 14 ADUN Umno, Bersatu (dua) dan Bebas (satu) manakala pembangkang mempunyai 11 kerusi iaitu DAP (tujuh), PKR (dua) dan Amanah (dua). — Majoriti