'Tiada diskriminasi kaum tahanan mati dalam lokap'


  • Primer
  • Selasa, 05 Okt 2021

HAMZAH menegur agar Ahli Parlimen tidak menjadikan kes kematian di lokap sebagai modal membangkitkan isu perkauman.

MENTERI Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin memberitahu bahawa tiada diskriminasi kaum terhadap individu yang mati di dalam lokap ketika berada dalam tahanan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata di Dewan Rakyat pada Selasa, perkara itu dapat dibuktikan dengan peratusan kematian dalam lokap adalah kecil.

Kata Hamzah, hanya 0.015 peratus kematian daripada 63,773 tahanan yang didaftarkan dalam tempoh Januari hingga September tahun ini atau 10 kematian.

"Peratusan bagi tahun lepas juga rendah iaitu 0.014 peratus atau 13 kematian daripada 91,246 tahanan di lokap PDRM.

"Saya ingin jelaskan perkara ini supaya tidak lagi dijadikan isu perkauman yang dibangkitkan sejak dulu," katanya.

Tambahnya lagi, hal itu hanya dibesarkan kerana segelintir pihak terbawa oleh emosi apabila membicarakan isu berkenaan.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada Selasa.

Jelas Hamzah lagi, Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini dalam proses menambah baik pengurusan lokap PDRM dengan melantik panel klinik swasta supaya tahap kesihatan tahanan dapat dibuat dengan segera sebelum dimasukkan ke dalam lokap.

Hurainya, usaha lain termasuk projek pemasangan rakaman kamera litar tertutup di semua lokap polis dijangka akan selesai akhir tahun ini yang dibahagikan kepada lima zon iaitu utara, selatan, timur, Sabah dan Sarawak.

"Saya ingin menegur agar Ahli Parlimen tidak menjadikan kes kematian di lokap sebagai modal membangkitkan isu perkauman," ujarnya.

Teguran itu mencetuskan situasi tegang apabila beberapa Ahli Parlimen pembangkang bangun mencelah meminta tambahan masa, jawapan bertulis dan penjelasan lanjut isu berkenaan.

Antara yang bangun P. Kasthuriraani (PH-Batu Kawan), M. Karupaiya (PH-Padang Serai), P. Prabkaran (PH-Batu) dan Maria Chin Abdullah (PH-Petaling Jaya). — Majoriti