'Tiada isu konflik kepentingan jika Azalina pengerusikan Dewan Rakyat'


  • Primer
  • Selasa, 05 Okt 2021

YANG Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengulas isu melibatkan Datuk Seri Datuk Seri Azalina Othman Said.

YANG Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menegaskan tiada isu konflik kepentingan yang wujud daripada permintaannya agar Datuk Seri Azalina Othman Said mempengerusikan Dewan Rakyat.

Beliau menyatakan bahawa isu itu tidak sepatutnya timbul berikutan pelantikan Azalina sebagai penasihat Perdana Menteri bukanlah berstatus menteri.

"Saya diberitahu oleh Azalina bahawa pelantikannya bukan berstatus menteri, oleh itu dia bukan anggota Eksekutif.

"Beliau hanyalah penasihat yang akan menasihati perdana menteri, bukan kerajaan, mengikut pendapat dan pengetahuan beliau dan kebijaksanaan beliau," katanya di Parlimen pada Selasa.

Azhar berkata demikian menjawab pertanyaan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) mengenai kedudukan Azalina, yang diminta mempengerusikan mesyuarat mengikut Perkara 7 (3) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

"Oleh kerana beliau bukan ahli eksekutif, maka saya tidak nampak apa-apa masalah dalam permintaan saya untuk (Azalina) mempengerusikan apa-apa persidangan atau mesyuarat.

"Sepanjang beliau mempengerusikan mesyuarat, sekiranya beliau tidak perlu membuat apa-apa ‘ruling’ (peraturan) mengenai perkara yang dinasihatkannya, maka saya tidak rasa timbul percanggahan kepentingan,” katanya.

Tegas Azhar lagi, sekiranya Azalina mempengerusikan mesyuarat dan perlu membuat sebarang peraturan berkaitan dengan kedudukan sebagai penasihat khas Perdana Menteri, maka Ahli Parlimen Pengerang itu akan diminta mengecualikan diri.

"Jika beliau (Azalina) berada dalam situasi percangahan kepentingan, saya pasti beliau akan mengecualikan diri dan saya sendiri akan arahkan beliau mengecualikan diri,” katanya.

Terdahulu, ketika Azalina mempengerusi sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baharu) dan Wong masing-masing mempersoalkan kedudukannya sebagai pengerusi sementara, yang dikatakan akan menimbulkan isu percanggahan kepentingan berikutan Azalina telah dilantik sebagai penasihat Perdana Menteri.

Azalina bagaimanapun meminta kedua-dua Ahli Parlimen itu merujuk perkara itu kepada Azhar, yang menjemput dirinya bagi mempengerusikan mesyuarat untuk sementara waktu mengikut Peraturan Mesyuarat 7 (3).

Perkara 7 (3) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat menyatakan: Pada bila-bila masa mesyuarat bersidang, Tuan Yang Dipertua boleh meminta seseorang ahli mempengerusikan mesyuarat itu bagi sementara dengan tidak payah diberitahu Majlis Mesyuarat dengan secaranya dan ahli yang mempengerusikan ini tetaplah terserah kepadanya semua kuasa-kuasa Tuan Yang Dipertua sehingga Tuan Yang Dipertua balik semula mengetuakan mesyuarat. — Majoriti