Punca bayi cacat kekal, pengasuh dihukum penjara


MAHKAMAH memerintahkan hukuman penjara Azlina bermula pada Isnin dan dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda. — Agensi

SEORANG pengasuh dikenakan penjara setahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin.

Tertuduh, Azlina Lizawati Ahmad Tarmizi, 37, disabitkan hukuman itu atas kesalahan mengabaikan anak asuhannya berusia 11 bulan sehingga bayi lelaki itu patah tulang dan lumpuh separuh badan.

Hukuman itu dijatuhkan Hakim Mahyon Talib selepas Azlina menukar pengakuan kepada bersalah pada prosiding sebutan kes.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai pengasuh melakukan pengabaian sehingga menyebabkan kanak-kanak berkenaan mengalami kecederaan patah tulang belakang dan rosak saraf.

Kesalahan dilakukan di sebuah rumah di Desa Tun Hussein Onn, Jalan Jelatek di sini antara jam 7 dan 10 pagi pada 23 Julai 2020.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun, atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, ibu bapa mangsa telah menghantar bayi mereka ke rumah pengasuh dalam keadaan baik dan sihat.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula Isnin dan dipenjara dua bulan jika gagal membayarnya.

Tertuduh juga dikehendaki menjalani hukuman tambahan di bawah seksyen 31(2) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu Bon Kelakuan Baik dengan cagaran RM5,000 selama tiga tahun dan Khidmat Masyarakat dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah 180 jam. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

pengasuh, penjara, denda, abai, bayi, cacat