Bekas Ahli MKT Umno mengaku tidak bersalah, sebar berita palsu di Facebook


LOKMAN mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibaca di hadapan Hakim M M Edwin Paramjothy. — Sinar Harian

BEKAS Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat.

Hadir di mahkamah dengan memakai sut biru gelap, Lokman selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibaca di hadapan Hakim M M Edwin Paramjothy.

Lokman, 48 dikenakan dua pertuduhan menyebarkan berita palsu di laman Facebook berhubung kemasukan warga India menyebar virus Covid-19 dan kematian seorang pegawai polis akibat vaksin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa dengan niat menyebabkan kebimbangan kepada orang awam dan menyebarkan berita tidak benar.

Lokman melakukan perbuatan itu akaun laman sosial Facebook miliknya dengan nama profil 'Lokman Adam.'

OKS berkongsi rakaman audio visual berhubung dakwaan warga India memasuki negara menerusi penerbangan dari Bangalore, India sebagai penyebab penyebaran virus Covid-19.

Dia juga berkongsi tentang isu kematian seorang Pegawai Polis, Asisten Komisioner (ACP) Shahriman yang merupakan Ketua Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia di Pahang, telah meninggal dunia beberapa saat selepas suntikan kedua vaksin.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 9 April dan 3 Mei serta dilihat pada 11 April dan 9 Mei lalu, di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 4 (1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Seksyen itu turut memperuntukkan, dalam satu kesalahan berterusan boleh didenda tidak lebih RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan, jika sabit kesalahan.

Pengarah Pendakwaan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datin Kalmizah Salleh mencadangkan OKS diberi ikat jamin sebanyak RM30,000 bagi setiap pertuduhan. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram