Sembunyi wang RM2.9 juta, warga emas mengaku tidak bersalah


HAKIM Diana Md Razali membenarkan Ching Wai diikat jamin RM58,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin. — Facebook

SEORANG lelaki warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan pada Isnin atas 172 pertuduhan menyembunyikan wang berjumlah RM2.9 juta yang bukan miliknya.

Tertuduh, Lai Ching Wai, 63, didakwa melakukan kesalahan itu antara tahun 2016 hingga 2020.

Dia membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Diana Md Razali.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Ching Wai didakwa menyembunyikan wang itu yang dimasukkan oleh Syarikat Aerial Mix Sdn Bhd milik Lim Ming Shun ke dalam empat akaun bank yang didaftarkan atas namanya di daerah Seremban.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di empat buah bank di sekitar Seremban antara 26 April 2016 hingga 2 Jun 2020.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zulfikri Mohd Nasir menawarkan jaminan RM300,000 bagi kesemua pertuduhan.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam S. Khartigesan memohon jaminan minimum atas alasan dia baharu sahaja kehilangan isteri, tiada pekerjaan serta perlu menjaga dua orang anak.

Diana membenarkan Ching Wai diikat jamin RM58,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 Disember depan untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram