Hukum lebih berat terhadap individu kasari kanak-kanak autisme


  • Primer
  • Isnin, 04 Okt 2021

RINA mengarahkan JKM mengambil tindakan penguatkuasaan bersesuaian berhubung insiden berkenaan.

KENAKAN hukuman tegas dan setimpal kepada pihak yang terlibat mengkasari kanak-kanak autism serta disyaki didera di sebuah pusat intervensi di Bandar Baru Ampang, Selangor, tegas Datuk Seri Rina Mohd Harun,

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata beliau telah mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengambil tindakan penguatkuasaan bersesuaian di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506) kepada pusat jagaan itu termasuk tindakan 'lak' atau sita mengikut seksyen 16A(1) akta berkenaan.

"Pengendali juga boleh didakwa dan dikompaun seperti yang termaktub dalam Seksyen 21 dan 21A Akta 506.

"Kejadian ini tidak wajar berlaku dan hukuman berat harus dikenakan bagi mengelak kejadian sama berulang selain menjadi peringatan kepada pusat-pusat jagaan dan pusat intervensi kanak-kanak di negara ini," katanya.

Tambah beliau lagi, tindakan intervensi daripada sudut psikososial dan kaunseling akan diberikan oleh kaunselor berdaftar kepada ibu bapa dan kanak-kanak terlibat demi memastikan kebajikan serta kesejahteraan emosi mereka tidak terjejas dan terpelihara.

Jelas Rina lagi, kementeriannya tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang disyaki melakukan kesalahan hingga menjejaskan kehidupan kanak-kanak.

" Pihak kementerian akan terus komited meningkatkan kesedaran melalui kerjasama pelbagai pihak bagi melindungi mereka.

"Kita juga menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas kepada individu yang disyaki terlibat dengan penderaan dan penganiayaan terhadap kanak-kanak yang boleh menjadi suatu kesalahan jenayah di bawah Akta Kanak-Kanak 2001," ujarnya.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa agar memastikan perkhidmatan penjagaan dan pengasuhan yang diperlukan berdaftar dengan JKM demi memastikan keselamatan anak-anak mereka lebih terjamin.

Jika orang ramai mengetahui atau mengesyaki berlaku kes penderaan kanak-kanak, aduan boleh disalurkan kepada pihak polis, talian Kasih 15999 dan talian Whatsapp 019-26 15999 atau di 108 Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah seluruh negara.

Terdahulu, tular di media sosial termasuk Facebook dan Tik Tok seorang kanak-kanak lelaki dikasari seorang wanita dipercayai berlaku di sebuah pusat jagaan untuk kanak-kanak autisme.

Polis telah menahan suspek yang merupakan seorang wanita warga Singapura berusia 51 tahun untuk siasatan lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram