JABATAN Alam Sekitar (JAS) mengenakan notis Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) ke atas sebuah kilang berasaskan makanan di Kajang, Selangor yang dikesan melepaskan sisa minyak ke Sungai Balak.
Notis itu dikeluarkan pihak JAS di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 pada Ahad.
Menurut JAS, kilang berkenaan didapati pernah melakukan kesalahan sama sebelum ini.
"Siasatan lanjut mendapati premis itu melepaskan sisa minyak makanan dari tangki simpanan minyak marjerin yang bocor melalui longkang dan seterusnya ke sungai.
"Pihak premis juga gagal melaporkan kejadian kebocoran tangki minyak tersebut kepada pihak JAS dan gagal mengambil langkah-langkah kawalan menghalang pelepasan minyak ke persekitaran," katanya.
JAS berkata demikian menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook pada Ahad.
Tambahnya lagi, sebanyak lima sampel efluen telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk dianalisis.
Kes disiasat di bawah Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram