BERSENAM dan berjoging lazimnya menjadi aktiviti pengunjung di taman rekreasi, namun lain pula pilihan sekumpulan lelaki Tionghua di Kajang, Selangor yang lebih gemar meluangkan masa beriadah dengan bermain wau.
Walaupun permainan tradisional ini lebih terkenal dalam kalangan orang Melayu, namun mereka tidak kekok mengendali dan menerbangkan permainan yang popular di Pantai Timur itu hampir setiap petang di Taman Rekreasi Sungai Chua, Kajang, Selangor.
Berkongsi berkenaan aktiviti itu, Tan Chin Seong, 36, berkata, minat terhadap permainan tradisional itu dipupuk sejak beliau berusia 10 tahun oleh mendiang datuknya, Tan Eng Keat yang sering bermain wau di sekitar rumah.
“Dulu datuk saya bermain layang-layang biasa, tapi lama-kelamaan apabila berkawan dengan jiran berbangsa Melayu yang mahir membuat wau tradisional, datuk turut mempelajarinya kerana tertarik dengan keunikan tersendiri selain coraknya yang lebih cantik.
“Selepas tamat persekolahan, saya cuba membuat wau tradisional sendiri berpandukan sedikit kajian menerusi rujukan di buku dan internet, sehingga sekarang pun saya masih lagi belajar untuk memantapkan kemahiran,” katanya.
Walaupun ada segelintir pihak yang menganggap permainan tradisional ini sudah tidak relevan dan ketinggalan zaman khususnya generasi muda, namun Tan berpandangan permainan tradisional itu sebaliknya mampu mengimbau nostalgia selain menonjolkan warisan negara.
Tan (kanan) cuba menaikan wau tradisional di Taman Rekreasi Sungai Chua, Kajang. — Bernama
“Meskipun tidaklah semahir pembuat wau dari Pantai Timur yang sinonim dengan permainan tradisional ini, namun saya berbangga kerana tidak ramai orang Cina yang tahu membuatnya,” katanya.
Sehingga kini, Tan yang juga peniaga barangan automotif telah menghasilkan lebih 50 jenis wau tradisional antaranya Wau Barat, Wau Bulan, Wau Burung, Wau Jala Budi dan Wau Kucing.
Bercerita lanjut, beliau berkata masa kira-kira dua hari diperlukan bagi menyiapkan sebuah wau bermula daripada proses mencari dan meraut buluh duri sehinggalah melekatkan lapisan plastik nipis pada rangka.
Selain mencipta rangka dan aksesori wau seperti ekor serta sayap, Tan juga berbakat membuat busur yang diikat pada wau, yang boleh mengeluarkan bunyi apabila diterbangkan di udara.
Seorang lagi pemain wau, Sum Chock Ying, 58, berkata, beliau mula berjinak-jinak dengan permainan wau tradisional itu sejak lima tahun lepas dan kini telah menjadi sebahagian hobi barunya ketika mempunyai masa lapang.
“Walaupun proses membuat wau tradisional ini agak kompleks dan memerlukan ketelitian, namun ia menjadi kepuasan bagi saya apabila berjaya menerbangkannya dalam keadaan stabil di udara,” katanya.
Sum berkata, beliau turut menjadikan hobi tersebut sebagai sumber pendapatan sampingan dengan menjualnya dengan harga bermula RM30 sehingga RM100 bergantung kepada saiz yang dikehendaki. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram