Imigresen tahan 297 PATI tinggal bersesak di rumah kongsi


  • 112
  • Jumaat, 01 Okt 2021

KAWASAN penempatan berkenaan melanggar Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja atau Akta 446. — Sinar Harian

JABATAN Imigresen Malaysia (Imigresen) telah menahan 297 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi penguatkuasaan di Kajang, Selangor pada awal pagi Jumaat.

Operasi itu dijalankan di sebuah kawasan rumah kongsi di Jalan Eco Majestic 1/2c bermula pada pukul 12 tengah malam.

Menurut Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud, pihaknya telah melakukan pemeriksaan terhadap 326 warga asing yang tinggal di dalam tujuh buah kontena.

"Pihak Imigresen bertindak atas aduan penduduk yang bimbang dengan penempatan tersebut kerana berada dalam keadaan sesak dan tidak mematuhi aspek kebersihan serta berpotensi menjadi kawasan pembiakan denggi.

"Kebanyakan daripada warga asing tersebut dipercayai bekerja sebagai buruh binaan dan sektor perkilangan malah ada yang menjalankan perniagaan sendiri," katanya.

Tambah Khairul Dzaimee lagi, lokasi kawasan operasi dikelilingi apartmen, rumah teres dan banglo mewah.

Jelasnya lagi, kawasan penempatan tersebut jelas melanggar Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja atau Akta 446.

"Bagi kesalahan tidak mematuhi Akta 446 ini majikan boleh didenda sebanyak RM50,000 malah ada yang pernah dikenakan denda mencecah RM350,000 sebelum ini," katanya.

Menurutnya, kesemua yang ditahan terdiri daripada 94 lelaki dan 28 wanita Indonesia, 95 lelaki Bangladesh, 66 lelaki Myanmar, seorang lelaki Ghana serta enam lelaki dan tujuh wanita Vietnam. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

PATI, Imigresen, rumah kongsi, Eco Majestic