LUAHAN seorang bekas penerima biasiswa Majlis Amanah Rakyat (Mara) tentang realiti 'guna orang dalam' untuk mendapat tajaan belajar di luar negara menarik perhatian warga netizen.
Hantaran pemilik akaun media sosial Twitter, fairuz.dan.alam (@callmefye) berkongsi tentang realiti disebalik penerima biasiswa Mara yang melanjutkan pelajaran di luar negara.
Dia yang merupakan graduan sebuah universiti di Australia menceritakan berdasarkan pengalamannya bahawa kebanyakan penerima biasiswa menggunakan pengaruh ibu bapa dari golongan VIP atau 'cable' untuk mendapatkan tajaan meskipun tidak layak.
Fairuz berkongsi luahan itu dalam hantaran berantai sebagai respon berhubung hantaran Twitter, Hi-Edu MARA berhubung perlepasan 215 orang pelajar tajaan Mara ke Britain pada 25 September lalu.
"215 pelajar terbang ke Britain di bawah tajaan Mara.
"Agaknya dalam ramai-ramai yang pergi berapa orang yang betul-betul layak?
"Maaf saya juga pelajar tajaan Mara (2014/2015) dan waktu itu saya jumpa berapa ramai anak-anak VIP dan kakitangan Mara," kongsinya.
Tambahnya lagi, ketika itu semasa masih belajar di Australia, golongan berkenaan juga meminta supaya latar belakang mereka tidak didedahkan.
Dalam hantaran itu lagi, Fariruz menjelaskan kebanyakan golongan 'guna cable' tersebut menidakkan peluang pelajar lain yang lebih layak untuk menerima tajaan.
Katanya, ada di antara mereka tidak boleh bertutur dengan baik dalam bahasa Inggeris selain, datang dari keluarga kaya dan hidup bermewah di sana tanpa menyentuh duit tajaan.
Perkongsian itu mendapat lebih 25,000 tanda suka dan dikongsi semula (retweet) lebih 20,000 kali.
Ramai netizen bersetuju dengan pandangan Fairuz dan menyatakan bahawa perkara itu merupakan isu yang hanya dipandang sebelah mata.
Kebanyakkan mereka berkongsi situasi sama yang berlaku kepada mereka ketika belajar di luar negara, malah berterima kasih kepada Fairuz kerana menyuarakan perkara itu.
Ada juga yang berkongsi bahawa perkara ini sudah lama berlaku tetapi tiada siapa yang cuba memperbaiki perkara itu kerana ia melibatkan golongan kenamaan dan VIP. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram