Kecoh insiden pergaduhan ala 'Kungfu Shaolin' di Pulau Pinang


  • Tular
  • Sabtu, 02 Okt 2021

TANGKAP layar menunjukkan serangan antara kedua-dua kumpulan itu bermula ketika di luar premis di Pulau Pinang. — Facebook/Info Jenayah Terkini Seluruh Malaysia

TIGA rakaman video pergaduhan tular di media sosial yang menunjukkan berlaku pergaduhan antara dua kumpulan yang dipercayai berlaku di Pulau Pinang pada Jumaat.

Rakaman kejadian itu dikongsikan menerusi halaman Facebook, Info Jenayah Terkini Seluruh Malaysia yang memuatnaik tiga video dengan kapsyen “Kung fu shaolin kejadian di Penang”.

Daripada satu rakaman, dapat dilihat pergaduhan sudah pun tercetus di dalam sebuah premis yang tidak dikenalpasti.

Seterusnya, pergaduhan berterusan di luar dengan menyaksikan kedua-dua kumpulan saling membalas serangan.

Dalam pada itu, polis Pulau Pinang mengesahkan seramai 12 lelaki ditahan untuk membantu siasatan selepas dipercayai terlibat dalam satu pergaduhan di kawasan Lebuh Farquhar awal pagi Jumaat.

Dalam kejadian pada jam 12.35 tengah malam itu, kesemua mereka disyaki terlibat dalam pergaduhan melibatkan dua kumpulan berbeza dan ditahan antara jam 12.38 tengah malam hingga 3.17 pagi, Jumaat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Mohd Ra’ais berkata, suspek berusia antara 20 hingga 40 tahun itu ditahan secara berasingan di beberapa lokasi di sekitar bandar ini.

"Selepas menerima laporan berhubung kejadian pergaduhan membabitkan dua kumpulan di kawasan Lebuh Farquhar, kita terus ke lokasi kejadian.

"Polis berjaya menahan 12 lelaki yang dipercayai terlibat dengan pergaduhan untuk siasatan lanjut," katanya pada Sabtu.

Menurutnya, semua yang ditahan kini direman untuk siasatan lanjut dan polis masih menyiasat punca kejadian.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

gaduh, pulau pinang, kumpulan, shaolin, kungfu,