DEWAN Undangan Negeri (DUN) Melaka sebaiknya dibubarkan agar rakyat boleh memilih kerajaan yang dirasakan layak untuk memimpin negeri itu, kata Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, rakyat lebih berhak diberi mandat untuk memilih menerusi pilihan raya negeri yang baharu.
"Dengan krisis politik yang melanda negeri itu, seeloknya kita bubarkan DUN dan tidak mengapa Umno kehilangan kerajaan negeri yang dikuasai parti sendiri tetapi tunggulah tindakan selanjutnya.
"Kita beri semula mandatkepada rakyat (dan) untuk rakyat pilih kerajaan mana terbaik bagi mentadbir negeri dan negara kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada Isnin.
Tambah Ahmad Zahid lagi, beliau turut mengambil maklum dengan perkembangan yang berlaku di negeri bersejarah itu.
Jelasnya, beliau berharap perkara itu tidak akan menular untuk ahli Dewan Rakyat.
Pada Isnin, bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron bersama tiga lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mewakili kerajaan negeri mengumumkan menarik sokongan terhadap Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Surat pemakluman mengenai perkara itu serta peletakan jawatan Idris bersama Datuk Noor Effandi Ahmad dan Datuk Norhizam Hassan Baktee sebagai Exco Kerajaan Negeri yang bertarikh 30 September lalu diserahkan ke Pejabat Ketua Menteri Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh pada pagi Isnin.
Idris yang juga Adun Sungai Udang pada sidang akhbar mendakwa penarikan sokongan itu berikutan ketidakyakinan mereka terhadap beberapa keputusan kerajaan negeri yang 'flip-flop' serta tidak dilaksanakan dengan sempurna. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram