PAKATAN Harapan (PH) negeri Melaka menunda sidang akhbar yang sepatutnya diadakan di sebuah hotel di Banda Hilir, Melaka pada Isnin, pukul 10 pagi.
Difahamkan, sidang media itu ditunda kerana dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan yang didakwa bakal ‘melompat’ membuat pusingan-U saat akhir.
Selain itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali juga dikhabarkan akan membuat sidang akhbar di Seri Negeri, Ayer Keroh pada hari sama.
Bagaimanapun sehingga kini, belum ada apa apa jemputan rasmi daripada kedua-dua pihak selain tiada mana-mana wakil rakyat dilihat berada di sekitar kawasan hotel yang didakwa.
Seperti laporan media, PH negeri sudah mempunyai bilangan Akuan Bersumpah (SD) yang cukup untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.
Berdasarkan makluman sumber kepada media, terdapat konflik yang berlaku antara semua 11 ADUN PH dan, empat wakil rakyat kerajaan yang sudah menandatangani SD.
Hal itu menyebabkan sidang media PH terpaksa ditunda.
Bagaimanapun, sumber juga memaklumkan bahawa PH sedang melakukan perbincangan berhubung situasi berkenaan dan kemungkinan jika berjaya Melaka akan beralih tangan.
Sidang media tersebut juga difahamkan akan dibuat oleh Pengerusi DAP Negeri, Datuk Tey Kok Kiew, bagaimanapun sehingga kini belum ada sebarang jemputan rasmi.
Antara empat wakil rakyat yang disebut-sebut ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas - Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas).
Idris dan Norhizam sebelum ini menafikan terlibat dengan sebarang gerakan menumbangkan kerajaan kepimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Untuk rekod Kerajaan Melaka dipimpin Sulaiman dari UMNO selepas PN mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada pakatan (PH) yang tumbang Mac tahun lalu.
Kerajaan negeri mempunyai 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala pembangkang pula 11. — Astro Awani
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram