SEBARANG bentuk kerjasama dengan mana-mana parti politik bagi menghadapi Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15) nanti, perlu diputuskan secara konsensus oleh pucuk pimpinan Umno.
Menurut Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid, perbincangan perlu dibuat untuk menentukan hala tuju baharu parti kerana Umno sebelum itu telah membuat ketetapan dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 yang lalu.
“Semua perkara ini perlu dibawa kepada parti untuk dibincangkan. Biar ada keputusan di peringkat parti sebab kita akan hadapi pilihan raya. Biarlah ada keputusan secara konsensus dalam Umno sendiri.
“Sebab Umno pun ada pendirian sendiri dan kalau kita lawan bercakap takut nanti makin tegang,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan pendirian Umno untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pada PRU15 disifatkan sebagai sebuah realiti politik yang harus dihadapi.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dilaporkan berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai perkara itu dan Bersatu sedia berhadapan dengan Umno pada PRU15.
Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, setakat ini belum ada pertemuan atau perbincangan dalam kepimpinan tertinggi Umno mahupun dengan Bersatu diadakan mengenai perkara itu.
“Semua pihak lebih baik berdiam diri dahulu kerana perjalanan PRU15 masih jauh,” ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram