Dasar pengambilan pelajar MRSM dikekalkan


  • Primer
  • Ahad, 05 Sep 2021

SEMUA pelajar tanpa mengira aliran berhak mendapat peluang untuk kemasukan ke MRSM atas semangat 'Keluarga Malaysia', jelas Mahdzir. — RONNIE CHIN/The Star

DASAR pengambilan pelajar ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dikekalkan dan cadangan perubahan yang diumumkan sebelum ini tidak akan diguna pakai, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Menurutnya, semua pelajar tanpa mengira aliran berhak mendapat peluang untuk kemasukan ke MRSM atas semangat 'Keluarga Malaysia'.

"Saya hendak tegaskan bahawa dasar dan syarat kemasukan ke MRSM, kita kembalikan kepada syarat asal seperti sebelum ini bagi memberi peluang kepada semua pelajar untuk memohon.

"Kelayakan dan pemilihan pelajar pula dibuat berdasarkan kepada Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM) yang menguji kecenderungan STEM serta Keperibadian pelajar," katanya dalam satu kenyataan susulan pada Ahad.

Terdahulu pada Ahad, Jawatankuasa Permuafakatan Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) Negeri Selangor meminta agar MRSM memperhalusi dan menarik semula syarat kemasukan yang mengehadkan permohonan pelajar Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan sahaja.

Dalam kenyataan sama, MRSM juga diminta untuk memperluaskan permohonan kepada pelajar SRAI, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Sekolah Agama Menengah (SAM).

Dalam pada itu, Mahdzir berkata, dasar 10 peratus pengambilan pelajar Bukan Bumiputera juga kekal dan tiada sebarang perubahan selaras dengan konsep 'Keluarga Malaysia'.

Tambah beliau, kualiti dan sistem pendidikan yang tersendiri serta berkualiti tinggi yang diterapkan MRSM, telah menyebabkan permintaan dalam kalangan pelajar sangat tinggi.

"Kita berterima kasih kepada masyarakat di luar sana yang memberikan pengiktirafan dan sentiasa memandang tinggi Sistem Pendidikan yang ada di MRSM," katanya.

Jelas beliau, MRSM hanya mampu menampung sejumlah 7,500 pelajar tingkatan satu dan 2,000 pelajar tingkatan empat bagi setiap sesi pengambilan tahunan.

Berbanding permohonan yang diterima berjumlah 77,834 bagi tingkatan satu dan 24,495 bagi tingkatan empat untuk sesi kemasukan 2021.

Tambahnya lagi, dasar Majlis Amanah rakyat (Mara) adalah untuk menyediakan kuota 60 peratus kepada pelajar cemerlang dalam kalangan keluarga B40 bagi mengikuti pengajian di MRSM.

"Sistem Pendidikan MRSM adalah bertujuan membuka peluang pendidikan menengah bagi melahirkan pelajar bumiputera yang holistik, cemerlang dalam bidang akademik, sains, teknologi dan keusahawanan.

"Sistem Pendidikan MRSM juga sedikit berbeza dengan sistem pendidikan lain dari aspek kemampuan kognitif dan sahsiah pelajar. MRSM mengumpulkan pelajar cemerlang dan berpotensi tinggi selari dengan ciri-ciri Saintifik, Independen, Kreatif, Amanah dan Patriotik (SIKAP)," katanya.

Untuk rekod, bilangan MRSM di seluruh negara adalah 55 buah dan mampu menampung 37,198 pelajar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

MRSM, Mahdzir Khalid, PIBG, SRAI, MARA