Mara salurkan RM70 juta pinjaman buat 48 usahawan automotif


  • Primer
  • Ahad, 03 Okt 2021

MAHDZIR (tiga dari kiri) merasmikan pusat servis Perniagaan Mazlan dan Hashimah (PMH) Sdn Bhd, Alor Setar Kedah pada Ahad. — Facebook/Mahdzir Khalid

SEBANYAK RM70 juta pinjaman disalurkan Majlis Amanah Rakyat (Mara) kepada 48 usahawan dalam bidang automotif di seluruh negara sejak 2013.

Perkara itu dimaklumkan kata Menteri Pembangunan dan Usahawan, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang turut memberitahu pembiayaan itu disalur menerusi program Mara Integrated Smart Auto (MISA).

Jelasnya, ekosistem lengkap Mara dalam membangunkan industri automotif bermula dengan pendidikan, latihan teknikal dan vokasional (TVET) yang menyediakan program automotif dalam pelbagai peringkat.

"Ia juga termasuk penyediaan fasiliti keusahawanan antaranya merangkumi latihan, bantuan pembiayaan dan khidmat nasihat.

"Malah, skim pembiayaan khas bagi usahawan automotif melalui MISA juga disediakan khusus untuk usahawan mengembangkan perniagaan dan menaik taraf bengkel mereka," katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.

Pada masa sama, Mahdzir turut merasmikan pusat servis Perniagaan Mazlan dan Hashimah (PMH) Sdn Bhd, Alor Setar Kedah pada Ahad.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ramlan Harun dan Ketua Pengarah Mara, Datuk Azhar Abdul Manaf.

Jelas Mahdzir lagi, setiap usahawan boleh mendapatkan pembiayaan maksimum RM1 juta mulai 2019 berbanding maksimum RM5 juta sebelum itu.

Kata beliau lagi, beberapa program khas turut dibangunkan bagi memantapkan lagi usahawan dalam bidang berkenaan.

"Antaranya ialah Program Pembangunan Usahawan Automotif Mara PETRONAS (PIMP), program khas Auto Glass Expert (AGE) dan pelbagai program keusahawanan yang menyasarkan pengembangan perniagaan dalam industri automotif.

"Automotif adalah antara bidang TVET yang mendapat sambutan memberangsangkan serta melahirkan usahawan berjaya. Kita juga memberi fokus kepada dua elemen utama iaitu melahirkan tenaga kerja profesional serta berkemahiran," ujarnya.

Tambah beliau lagi, Mara juga menyediakan pelbagai bantuan termasuk untuk pembelian peralatan, modal pusingan, pengubahsuaian bengkel serta siri latihan peningkatan perniagaan.

Sementara itu, Mahdzir turut mengulas mengenai isu menangani kemiskinan seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

Menurut beliau, pihaknya menyambut baik saranan bagi mewujudkan seorang penyelaras di setiap daerah dan KPLB akan melakukan integrasi bagi memastikan isu itu dapat ditangani secara berkesan.

"Pihak KPLB akan menganalisis data beberapa kategori kemiskinan daripada miskin tegar sehinggalah kategori miskin di kawasan luar bandar.

"Kita akan sediakan data kategori orang miskin ini daripada miskin tegar hingga peringkat yang tertentu.

"Contohnya sekiranya agensi lain sudah memberi kursus kemahiran kepada golongan miskin ini, kita akan pastikan perkara ini dapat dikoordinasi supaya KPLB dapat tawarkan kursus yang berbeza," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram