KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak berhubung ketetapan memulakan takwim persekolahan sesi 2022 pada Mac tahun depan.
Perkara itu dinyatakan oleh menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin yang memberitahu bahawa ketetapan itu dibuat berdasarkan perbincangan dan penelitian yang mendalam selain mengambil kira pelbagai aspek.
Menurutnya, antara pihak-pihak yang terlibat dalam perbincagan tersebut adalah guru-guru, wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di beberapa negeri, pengetua, guru besar dan pakar-pakar serta persatuan perguruan.
"Ketetapan ini diambil supaya kita dapat gunakan sebaiknya tempoh Januari dan Februari ini untuk memastikan anak-anak kita betul-betul bersedia sebelum mereka naik ke kelas berikutnya.
"Kami yakin pendekatan ini memberi ruang yang cukup kepada anak-anak kita untuk diasah dan dipastikan supaya sekurang-kurangnya mereka dapat menguasai tahap penguasaan minimum yang diperlukan sebelum mereka naik ke kelas berikutnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai ketetapan kementerian untuk memulakan takwim persekolahan bagi sesi 2022 Mac depan yang menerima bantahan segelintir pihak.
Radzi juga pada masa sama hadir meninjau sesi persekolahan secara bersemuka di Sekolah Menengah Sains Dungun, Terrengganu pada Ahad.
Terdahulu, Radzi turut memberitahu Takwim Penggal dan Cuti Persekolahan 2021, yang sepatutnya berakhir pada Disember tahun ini, akan dilanjutkan hingga Mac 2022.
"Ia membawa maksud peralihan darjah atau tingkatan akan berlaku pada Mac, sekali gus memberi tempoh dua bulan untuk proses intervensi, sekiranya ada murid-murid keciciran," ujarnya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram