Peminat fanatik Hitler dicekup, rancang serang sekolah dan masjid di Perancis


  • Benua
  • Ahad, 03 Okt 2021

SIMON merancang untuk melancarkan serangan pada 20 April di Seine-Maritime, Perancis sempena tarikh ulang tahun Hitler. — Agensi
SEORANG remaja berusia 19 ditahan di Perancis baru-baru ini kerana merancang untuk menyerang sekolah menengah dan masjid berdekatan di wilayah Seine-Maritime, barat laut negara itu.

Laporan agensi Anadolu yang memetik akhbar Le Parisien berkata, remaja yang dikenali sebagai Simon yang juga merupakan peminat fanatik Hiter itu ditahan beberapa hari lalu oleh pihak berkuasa keselamatan dalam negeri dan dihadapkan di hadapan hakim antikeganasan pada 1 Oktober.

Menurutnya, Simon merancang untuk melancarkan serangan pada 20 April iaitu tarikh ulang tahun Hitler dan sebelum pusingan kedua pemilihan presiden di Perancis.

Pihak berkuasa turut menjumpai 20 bilah pisau, sekurang-kurangnya tiga pistol dan 20 buku nota yang dinamakan sempena nama Hitler di rumah Simon.

Pelajar itu menggambarkan dirinya sebagai "pelampau yang meminati cara politik Hitler".

Menerusi laporan sama, Simon dikatakan merancang untuk melakukan serangan lebih besar daripada kejadian yang pernah berlaku di Sekolah Tinggi Columbine di Littleton, Colorado Amerika Syarikat pada 20 April 1999 yang mengorbankan 13 nyawa.

Simon bertindak sedemikian kerana dia pernah menjadi mangsa serangan seksual dan diganggu rakan sekelas, selain terdapat 30 nama dalam senarainya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram