PARA pemilik perniagaan bukan keperluan utama (non-essential) menarik nafas lega apabila dibenarkan beroperasi semula bermula Jumaat.
Bagi tukang urut Orang Kelainan Upaya (OKU), Mohd Azman Ab Rahim, dia akhirnya dapat kembali mencari rezeki buat diri sendiri dan keluarganya.
"Sangat sukar untuk menampung kehidupan selepas terpaksa menutup perniagaan selama hampir setengah tahun," katanya yang menjalankan pusat urut di Kompleks PKNS, Shah Alam, Selangor.
Tambah Mohd Azman, meskipun perniagaannya mula beroperasi semula tetapi dia harus melakukan banyak perubahan bagi memenuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.
Salah satu perubahan yang diambil adalah dia terpaksa mengurangkan bilangan pekerja daripada tujuh kepada tiga orang sahaja berikutan kapasiti premisnya.
"Kami juga menutup ruang menunggu kerana pelanggan tidak dibenarkan berbuat demikian," jelasnya sambil menambah klien hanya boleh membuat temu janji.
Tambah Mohd Azman, penutupan operasi perniagaan untuk jangka masa lama menyebabkan banyak perniagaan kecil terutamanya yang dimiliki oleh golongan OKU berdepan masalah.
"Kami menghadapi kekangan kewangan kerana perlu membayar sewa setiap bulan. Apabila kami mahu membuat pinjaman bank, kami diminta untuk menyerahkan penyata akaun bank untuk tempoh tiga bulan terakhir sebagai bukti pendapatan," ujarnya lagi.
Dia berkata, situasi itu sangat sukar kerana mereka tidak memperoleh sebarang pendapatan sepanjang premis perniagaan terpaksa ditutup.
Justeru, Mohd Azman menggesa kerajaan agar memberikan talian hayat buat usahawan OKU sepertinya agar mereka tidak perlu menutup perniagaan.
Sementara itu, pengusaha salon kuku, Sereen Eng berkata, tiga premis cawangannya di Taman Tun Dr Ismail, SS2 dan Bukit Tunku di Selangor dipenuhi pelanggan apabila operasi perniagaan dibenarkan dibuka semula bulan lalu.
"Kami sering berhubung dengan pelanggan kami menerusi emel dan WhatsApp sepanjang lima bulan ditutup dan ramai membuat pra tempahan," ujar Eng. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram