Vaksin populasi dewasa cecah 86.8 peratus, tunggu masa rentas negeri


  • Primer
  • Sabtu, 02 Okt 2021

VAKSIN populasi dewasa kini sudah mencecah 86.8 peratus. — Bernama

SEBANYAK 3.2 peratus lagi diperlukan untuk mencecah angka 90 peratus populasi dewasa di negara ini lengkap divaksinasi, sekali gus orang ramai kini dilihat hanya menunggu masa sebelum diberikan kebenaran untuk merentas negeri.

Berdasarkan perincian yang dikongsi menerusi portal COVIDNOW pada Sabtu, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan setakat pukul 11.59 malam Jumaat, seramai 20,317,843 individu atau 86.8 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19.

Setakat Jumaat, sebanyak 94.2 peratus atau 22,059,329 individu daripada populasi dewasa sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, seramai 71,779 atau 2.3 peratus daripada mereka telah melengkapkan suntikan vaksin setakat Jumaat.

Perincian itu juga memaklumkan sebanyak 237,245 dos suntikan vaksin turut diberikan semalam melibatkan 103,021 dos pertama dan 134,224 dos lengkap, menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah sebanyak 43,933,988 dos.

PICK dilancarkan pada 24 Februari lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

Sementara itu, sebanyak 121 kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan setakat jam 11.59 malam Jumaat), menurun sedikit berbanding 192 kes kematian dilapor pada Khamis, menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian di negara ini kini 26,456.

Bagaimanapun, daripada 121 kematian baharu itu, sebanyak 83 adalah kes kematian harian sebenar dalam purata tujuh hari, manakala selebihnya adalah kes kematian tertunggak atau ‘backlog’, dan angka itu boleh berubah sekiranya terdapat kes kematian yang dikemas kini.

Sebanyak 28 daripada jumlah kematian baharu itu dilaporkan berlaku di luar hospital (BID). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

COVIDNOW, vaksin, COVID-19, kematian, kkm,