Isteri terlantar uzur hanya mampu hidu bau busuk mayat suami


  • 112
  • Sabtu, 02 Okt 2021

POLIS mendapati mangsa meninggal dunia lebih daripada 24 jam berdasarkan keadaan mayat yang sudah berulat.

SEORANG warga emas berusia 79 tahun ditemui mati dalam bilik air di rumahnya di Taman Ria, Sungai Petani Kedah dalam keadaan sudah pun berulat pada Jumaat.

Lebih menyayat hati, isterinya yang terlantar sakit tidak mampu berbuat apa-apa.

Jiran yang mula curiga selepas terhidu bau busuk mula menghubungi anak pasangan berkenaan dan pasukan bomba yang dikejarkan ke lokasi menemui mayat lelaki berkenaan dalam bilik air.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, polis menerima panggilan daripada pihak bomba pada jam 1.45 tengah hari.

"Susulan daripada itu, polis bergegas ke lokasi kejadian yang juga rumah teres setingkat dan hasil siasatan mendapati mangsa meninggal dunia lebih daripada 24 jam berdasarkan keadaan mayat yang sudah berulat,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Adzli berkata, pasangan warga emas itu hanya tinggal berdua dan anak mangsa memaklumkan mangsa tidak mempunyai sebarang rekod masalah kesihatan.

"Anak pasangan terbabit memberitahu bapanya hanya tinggal berdua bersama ibu di rumah itu. Anak mangsa mendakwa kali terakhir dia bertemu bapanya adalah pada 23 September lalu dan memberitahu mangsa tidak mempunyai sebarang penyakit.

"Dia juga mendakwa bapanya tidak pernah mendapatkan sebarang rawatan di klinik atau hospital," katanya.

Tambah Adzli, siasatan di tempat kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematian mangsa.

"Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut dan mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk ujian saringan Covid-19 sebelum bedah siasat," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

warga emas, polis, mati mengejut