Pendakwah terkenal dipanggil semula beri keterangan


  • 112
  • Jumaat, 01 Okt 2021

PENDAKWAH itu hadir bersama-sama isterinya untuk memberi keterangan pada Khamis. — Agensi

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan memanggil semula seorang pendakwah bebas terkenal pada Khamis bagi diambil keterangan berhubung siasatan berkaitan kes gangguan seksual.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, isteri pendakwah berkenaan turut dipanggil bagi membantu siasatan.

"Orang ramai dinasihatkan untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan menyebarkan apa-apa juga bahan di mana-mana platform bagi mengelakkan sebarang spekulasi serta provokasi sehingga menjejaskan siasatan pihak polis,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, pendakwah itu hadir ke Bukit Aman untuk diambil keterangan berkaitan kes tersebut dan beliau disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pada 19 Ogos lepas.

Pada 22 September lalu, video dan mesej lucah yang didakwa mempunyai kaitan dengan pendakwah itu tular di aplikasi Telegram.

Polis kemudiannya membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram