SERAMAI 10 pemancing dikhuatiri hilang selepas bot yang dinaiki mereka karam kira-kira 20 batu nautika di perairan Barat Laut Pulau Satang, Kuching, Sarawak pada Sabtu.
Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian itu.
Menurutnya, setakat ini belum ada maklumat mengenai identiti mangsa yang terlibat.
"Kami menerima panggilan kecemasan pada jam 12.17 tengahari. Maklumat awal kejadian melibatkan sebuah bot karam dinaiki 10 orang pemancing mohon diselamatkan dipercayai lokasi di kedudukan perairan Barat Laut Pulau Satang dengan anggaran jarak 20 batu nautika,” katanya.
Bertindak atas makluman, pegawai dan anggota yang diketuai Komander Operasi, Latif Iring dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya digerakkan ke lokasi kejadian.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut melibatkan pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Marin.
Bagaimanapun setakat ini operasi ditangguhkan berikutan keadaan cuaca gelap dan akan disambung semula pada Ahad.— Astro Awani
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram