Tiada unsur jenayah, mayat kanak-kanak austisme ditemukan


  • 112
  • Selasa, 07 Sep 2021

KANAK-kanak lelaki hiperaktif, Muhammad Fayyadh Ukasyah Abdul Wahid berusia enam tahun yang hilang dari kawasan perumahannya di Taman Kinta Baru, Gopeng lewat petang semalam. — Foto ihsan PDRM

MAYAT kanak-kanak lelaki autisme berusia enam tahun dipercayai hilang pada Isnin selepas keluar dari rumahnya di Lorong Jaya, Taman Kinta Baru, Gopeng, Perak ditemukan terapung di tepi sebuah lombong, pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Kampar, Supt Hasron Nazri Hashim berkata, mayat Muhammad Fayyadh Ukasyah Abdul Wahid ditemukan pasukan operasi mencari dari Balai Polis Gopeng dalam jarak kira-kira 80 meter dari rumah keluarga mangsa pada pukul 9.45 pagi.

"Mayat mangsa dibawa naik oleh pihak Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng dan pemeriksaan awal pada fizikal mangsa telah dibuat dan didapati tiada elemen jenayah.

"Pengecaman mayat telah dibuat oleh keluarga mangsa. Mayat dihantar ke Hospital Kampar bagi tujuan bedah siasat dan siasatan diteruskan sebagai laporan mati mengejut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Hasron Nazri berkata seorang kanak-kanak autisme dengan masalah hiperaktif, kurang pendengaran dan tidak boleh bercakap, disedari hilang oleh ibunya kira-kira pukul 6.30 petang pada Isnin.

Beliau berkata pakaian terakhir mangsa sebelum hilang adalah berbaju T-shirt BoBoiBoy berwarna hijau dan memakai lampin pakai buang. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram