HANYA mampu terduduk selepas wang yang dikumpul selama dua tahun untuk belanja kahwin hilang kerana sebuah panggilan telefon.
Itu yang berlaku kepada seorang mangsa Macau Scam yang hanya mahu dikenali sebagai Apit.
Pemuda asal Bentong, Pahang itu memberitahu, dia tidak pernah menyangka akan menjadi mangsa kepada sindiket yang telah menipu jutaan wang rakyat di Malaysia.
Hampir setiap hari, kes berkaitan Macau Scam dilaporkan berlaku di negara ini. Sama ada jumlah kerugian kecil atau besar, sindiket ini dilihat masih giat dijalankan pihak tidak bertanggungjawab dengan menggunakan pelbagai modus operandi.
Dalam kes Apit, dia kerugian kita-kira RM30,000 selepas kononnya didakwa terlibat dalam satu kes penggubalan wang haram.
Kata lelaki berusia 27 tahun itu, kejadian itu berlaku pada tahun lalu apabila dia tiba-tiba mendapat panggilan kira-kira jam 10 pagi.
"Ketika itu saya bercuti dan sedang tidur. Saya menerima panggilan daripada nombor talian tetap yang kononnya dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
"Seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai pegawai mahkamah dan memaklumkan bahawa saya dikenakan waran tangkap kerana tidak hadir perbicaraan berhubung kes penggubalan wang haram," katanya.
Tambah Apit, dia mula terpedaya selepas panggilannya disambungkan dengan seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dari Bukit Aman. Inspektor itu mendedahkan maklumat peribadinya dengan tepat.
Risau ditahan pihak polis, Apit kemudian mengikut sahaja arahan Inspektor itu termasuk memindahkan sejumlah wang ke beberapa akaun supaya waran tangkap terhadapnya ditarik balik.
Namun, Apit hanya menyedari telah ditipu Macau Scam selepas gagal menghubungi Inspektor itu untuk bertanya lanjut tentang perkembangan kes selang beberapa hari kemudian.
Jelas Apit lagi, dia telah membuat laporan polis tentang kejadian itu, namun sehingga kini kes masih lagi dalam siasatan.
Apa yang pasti, sindiket Macau Scam bukanlah sesuatu yang baharu di negara ini namun ia masih berlarutan dan telah memperdaya ribuan mangsa di seluruh negara.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, antara sebab kes Macau Scam masih berlaku adalah kerana modus operandi sindiket yang sentiasa berinovasi mengikut peredaran masa.
"Penjenayah sentiasa peka dengan keadaan semasa dan memanfaatkan senario itu untuk memperdayakan mangsa. Sebagai contoh semasa musim durian, peniaga durian menjadi sasaran ahli sindiket kononnya mempunyai kesalahan berkaitan cukai dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
"Selain itu, kurangnya kesedaran dan juga pemahaman am tentang prosedur pengurusan kesalahan jenayah menjadikan mangsa mudah diperdaya sindiket ini," katanya kepada Majoriti.
MOHD Wazir Mohd Yusof
Menurut beliau, Polis Di Raja Malaysia (PDRM) sentiasa menjalankan usaha untuk meningkatkan kesedaran dan menyalurkan maklumat berhubung sindiket yang juga didalangi penjenayah antarabangsa itu.
Jelas Mohd Wazir lagi, antara usaha yang dilakukan adalah menjalankan kempen dan bertemu secara langsung dengan orang ramai serta memanfaatkan saluran media sosial dan perdana.
"Pihak polis juga bekerjasama dengan masyarakat yang menjadi mata dan telinga dalam mengesan individu-individu yang disyaki menjalankan aktiviti yang dicurigai di kawasan kediaman, inap desa, kediaman elit, kawasan pejabat dan rumah kedai.
"Kerjasama turut dijalinkan dengan agensi lain, contohnya seperti LHDN, Kastam, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta pihak bank untuk mengesan aliran transaksi kemasukan wang dan pengeluaran wang bagi mengesan penjenayah," ujarnya.
Wazir turut menambah, pihaknya turut mempertingkatkan lagi operasi mengesan pusat panggilan (call center) di segenap pelusuk daerah di Pahang yang menjadi pusat operasi sendiket ini bagi menjalankan aktiviti penipuan.
Justeru katanya, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati sekiranya mendapat panggilan yang mencurigakan.
Jika diminta untuk membuat pindahan wang, jelasnya, sila lakukan semakan terlebih dahulu menerusi aplikasi Semak Mule PDRM atau laman web di www.semakmule.rmp.gov.my.
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram