Dua banduan mengaku tidak bersalah akibatkan kematian rakan


MAHKAMAH menetapkan 3 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes terhadap dua banduan atas tuduhan menyebabkan kematian rakan mereka. — Gambar hiasan/The Star

DUA banduan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Terengganu, pada Isnin atas tuduhan menyebabkan kematian rakan mereka dengan memukul sehingga cedera pada kepala dan badan.

Kedua-dua banduan, Adura Mustaffa, 39, dan Azizul Danial Muhammad, 35, mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu dan mohon dibicarakan, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara bersama-sama menyebabkan kematian Hamiddi Kamaruddin, 48, di sebuah bilik di Penjara Marang, Marang, jam 2 petang pada 21 Ogos lalu.

Mereka yang didakwa mengikut Seksyen Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 3 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Nor Hilwani Mat Rifin, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, mangsa yang tidak sedarkan diri ketika dikejutkan anggota bertugas dibawa ke Klinik Penjara Marang sebelum dipindahkan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan.

Beliau berkata, anggota yang bertugas sebelum itu dimaklumkan, mangsa terjatuh di dalam bilik air namun pemeriksaan terhadap tubuh badan mangsa mendapati terdapat beberapa kecederaan termasuk di kepala dan badan.

"Siasatan mendapati mangsa dipukul dua suspek menggunakan tangan dan dia disahkan meninggal dunia di HSNZ Kuala Terengganu pada jam 2.43 petang, 26 Ogos lalu," katanya. — Berita Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

banduan, bunuh, pukul