Langgar perintah, siasatan kes Guan Eng selesai


GUAN Eng sangkal dakwaan beliau langgar perintah kuarantin kendiri pada 1 hingga 10 September lalu. — Bernama

POLIS Pulau Pinang mengesahkan siasatan ke atas bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubung dakwaan melanggar perintah kuarantin kendiri pada awal bulan lalu selesai.

Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kertas siasatan berhubung kes berkenaan juga sudah dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Negeri Pulau Pinang untuk arahan lanjut.

Jelasnya, sehingga kini kertas siasatan masih belum mendapat sebarang arahan dari Pejabat Pendakwaan Negeri Pulau Pinang.

"Guan Eng telah dipanggil untuk diambil keterangan sebelum ini dan beliau tidak lagi dipanggil selepas ini," katanya pada Khamis.

Tambah Mohd Shuhaily, tiada lagi saksi dipanggil untuk diambil keterangan selepas 11 saksi sudah dipanggil sebelum ini.

Sebelum ini, polis telah merekod keterangan Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP pada 11 September berhubung dakwaan melanggar perintah kuarantin kendiri.

Polis juga turut memanggil 11 saksi termasuk enam individu yang membuat laporan, seorang pegawai kesihatan daerah Timur Laut, Setiausaha Dewan Undangan Negeri, Mohd Roshidi Azmi dan pegawai kesihatan daerah Seberang Perai Utara.

Dalam pada itu, polis mengesahkan telah membuka kertas siasatan terhadap Guan Eng selepas polis menerima beberapa laporan yang dibuat terhadapnya.

Terdahulu, Guan Eng menyangkal dakwaan bahawa beliau melanggar syarat kuarantin kendiri yang bermula 1 hingga 10 September.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan turut menafikan bahawa beliau keluar secara terbuka untuk mengedarkan bungkusan makanan kepada pengundi di kawasannya pada 2, 4 dan 8 September.

Jelasnya lagi, beliau hanya berada di rumah untuk kuarantin kendiri setelah menghadiri Persidangan DUN Pulau Pinang pada 2 September dan kemudiannya diuji negatif. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram