Sektor perladangan hadapi isu buruh, kerajaan cari mekanisme baharu


  • Primer
  • Ahad, 12 Sep 2021

MUSTAPA memaklumkan kerajaan akan cari solusi masalah buruh dalam tempoh dua atau tiga minggu akan datang. — Bernama

KERAJAAN akan mengenal pasti kaedah bersesuaian untuk mengatasi masalah kekurangan tenaga buruh di sektor perladangan terutama sawit.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, kerajaan sudah memperkenalkan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja yang memberi peluang kepada majikan sektor perladangan, pertanian, pembinaan, perkilangan dan perkhidmatan menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi menampung kekurangan tenaga kerja tetapi tidak mendapat sambutan menggalakkan.

"Pada April lepas, kerajaan sebenarnya sudah memberi kelulusan untuk buruh asing diambil kerja di ladang sawit melalui proses itu. Malangnya, ia tidak mendapat minat daripada buruh asing," katanya yang menyifatkan buruh asing sebagai antara komponen penting bagi memastikan industri sawit yang berdaya saing.

Mustapa berkata pada masa ini, harga purata minyak sawit mentah adalah RM4,100 satu tan berbanding RM2,700 satu tan pada 2020.

Jika tidak ditangani segera, isu itu boleh menyebabkan syarikat berkaitan industri sawit seperti Felda dan FGV Holdings Bhd berdepan risiko kerugian sebanyak RM3.2 bilion setahun.

Tambahnya lagi, kerugian Felda dan FGV juga mencecah RM1.6 bilion untuk enam bulan pertama tahun ini dan masing-masing memerlukan seramai 5,000 pekerja dan 10,000 pekerja.

"Bagi (buruh asing) yang nak memasuki Malaysia, kita faham ada prosedur operasi standard (SOP) dan tempohnya mungkin lambat sikit.

"Tetapi untuk mereka yang sudah berada di Malaysia, bagi saya, Program Rekalibrasi Tenaga Kerja ini penting dan perlu diberi keutamaan," jelasnya.

Tegas Mustapa, beliau sekali lagi telah membangkitkan masalah itu dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat lalu.

Malah, beliau akan berbincang dengan pihak berkaitan seperti wakil industri, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kesihatan mengenai kaedah penyelesaian jangka pendek yang sewajarnya.

"Saya harap dalam dua ke tiga minggu ini kita akan dapat selesaikan masalah tenaga buruh, kalau tidak industri sawit akan menghadapi masalah yang besar.

"Masalah ini bukannya mudah diatasi tetapi pada masa sama kita perlu pastikan ia dapat diselesaikan dalam tempoh itu," katanya.

Sebelum ini, laporan media tempatan menyebut industri sawit yang berisiko kehilangan pendapatan sehingga RM20 bilion setahun akibat kekurangan tenaga kerja yang kritikal sejak penularan Covid-19.

Sektor perladangan sawit juga dilaporkan berdepan masalah kekurangan pekerja terutama di bahagian penuaian dengan anggaran 75,000 kekosongan jawatan belum diisi ketika ini. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram