Afghanistan didesak jalin persahabatan dengan negara jiran


  • Benua
  • Ahad, 12 Sep 2021

JELAS Zhao, tindakan ketenteraan tidak akan dapat menyelesaikan masalah Afghanistan. — Agensi

MESYUARAT Menteri-Menteri Luar Negara Jiran mengenai Afghanistan menyeru pentadbiran baharu negara itu melaksanakan dasar sederhana dan mampan, bersahabat dengan negara jiran, serta menjauhkan diri daripada semua kumpulan keganasan.

Afghanistan turut dicadangkan untuk membentuk kerangka politik yang terbuka dan terangkum.

Mesyuarat yang julung kali diadakan itu disertai China, Iran, Pakistan, Tajikistan, Uzbekistan dan Turkmenistan.

Jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian dalam satu sidang media pada Jumaat berkata, seruan itu antara inti pati yang terkandung dalam pernyataan bersama tersebut.

Zhao berkata tindakan ketenteraan tidak dapat menyelesaikan masalah Afghanistan.

"Negara-negara jiran enggan melihat Afghanistan terjerumus lagi ke dalam kancah peperangan dan konflik.

"Kami (negara jiran) bersedia berganding bahu dengan rakyat Afghanistan dalam menyokong kedaulatan dan keutuhan wilayah negara itu.

"Di samping komited membantu mewujudkan keamanan, keselamatan, permuafakatan kaum dan pembangunan,” katanya.

Beliau juga menyatakan kesediaan China untuk membuka pintu sempadan dengan Afghanistan dan menyalurkan bantuan perubatan dalam bentuk barangan dan teknikal kepada Afghanistan untuk memerangi wabak Covid-19. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram