'Ibu bapa usah panik'


  • Primer
  • Khamis, 23 Sep 2021

NOOR Azmi berucap padasidang media khas Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di Kementerian Kesihatan, Putrajaya pada Rabu. — Bernama

KEMENTERIAN Kesihatan memberi jaminan semua remaja akan diberikan vaksinasi, selain turut menasihatkan agar ibu bapa tidak panik.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, pihak sekolah akan memaklumkan kepada para pelajar berhubung tarikh dan lokasi mereka divaksinasi.

"Kami mempunyai bekalan vaksin yang mencukupi. Sebelum ini, mereka yang menerima temujanji perlu menunggu lama walaupun mendaftar awal.

"Itu kerana kami tidak mempunyai bekalan vaksin yang vaksin. Sekarang kami mempunyai bekalan yang mencukupi untuk 3.2 juta remaja di negara ini.

"Kami memberi jaminan tiada seorang remaja akan tertinggal. Kami mempunyai program 'outreach' untuk mereka yang tinggal di pedalaman dan terlantar sakit," kata Noor Azmi ketika sidang media pada Rabu.

Noor Azmi yang juga pengerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Remaja (PICK-Remaja) mengatakan vaksinasi secara jumpa terus untuk remaja berusia antara 12 dan 17 tahun hanya terhad kepada mereka yang tidak memasuki sesi persekolahan.

Beliau menggesa ibu bapa kepada remaja yang memasuki sesi persekolahan agar tidak menyerbu pusat pemberian vaksin (PPV).

"Tidak perlu panik. Kami akan dapat mencapai sasaran vaksinasi lengkap sebanyak 80 peratus ke atas remaja di negara ini menjelang akhir 2021," ujarnya.

Bagi pelajar universiti yang belum mencecah usia 18 tahun, mereka dibenarkan melakukan jumpa terus ke PPV tetapi mesti ditemani oleh ibu bapa serta menunjukkan kad pelajar. - The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram