Vaksinasi berjadual remaja elak sesak, kluster Covid-19


  • Primer
  • Khamis, 23 Sep 2021

IBU bapa atau penjaga mestilah membawa remaja ke PPV mengikut tarikh janji temu yang ditetapkan. — The Star

IBU bapa disarankan untuk tidak menyerbu Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bersama anak untuk vaksinasi, kata Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Timbalan Menteri Kesihatan I itu berkata, hal ini kerana jadual janji temu remaja dibuat dengan kerjasama Pejabat Kesihatan dan Pendidikan Daerah terlebih awal.

Oleh itu, katanya, pihak pengurusan sekolah melalui guru akan memaklumkan jadual vaksinasi mengikut giliran sekolah kepada ibu, bapa atau penjaga.

“Ibu bapa atau penjaga mestilah membawa remaja mengikut tarikh janji temu yang ditetapkan.

“Kaedah vaksinasi berjadual dilakukan bagi mengelakkan daripada berlakunya kesesakan dan kluster jangkitan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Bagi murid berasrama penuh dan harian, Dr Noor Azmi berkata, janji temu akan diberikan melalui aplikasi MySejahtera, yang mana remaja akan divaksinkan di sekolah atau PPV berdekatan tempat tinggal mereka.

“Kementerian Kesihatan memberi jaminan bekalan vaksin untuk remaja adalah mencukupi dan kesemua remaja berusia 12 hingga 17 tahun akan diberi vaksinasi sama ada di PPV atau sekolah,” jelasnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Imunisasi Covid-19 Remaja (CITF-A).

Terdahulu, Dr Noor Azmi pada Selasa berkata, pemberian suntikan vaksin Covid-19 kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun akan dilaksanakan di 156 PPV Awam dan Integrasi di seluruh negara secara kaedah jumpa terus (walk-in) berjadual bermula Khamis ini.

Beliau berkata, agihan vaksin itu mengikut lokasi sekolah berhampiran dengan PPV yang dikenal pasti.

Katanya, pemberian vaksin akan dilaksanakan mengikut giliran serta tarikh dan masa yang ditetapkan.

“Jadual pemberian vaksin pula akan dikeluarkan pihak sekolah masing-masing kepada remaja dan ibu bapa.

“Bagi remaja yang telah mendapat tarikh vaksinasi di PPV sekolah, kumpulan pelajar ini perlu mengekalkan janji temu sedia ada di PPV sekolah yang ditetapkan dan tidak dibenarkan walk-in ke PPV Awam atau Integrasi,” katanya.

Noor Azmi berkata, bagi remaja yang tidak bersekolah pula, mereka dibenarkan untuk walk-in di mana-mana 156 buah PPV yang berdekatan dengan kediaman masing-masing. —Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

PPV, sesak, vaksinasi