PH disaran guna logo PKR pada PRU15


  • Politik
  • Isnin, 27 Sep 2021

LOGO PKR disaran untuk diguna pakai dalam usaha membawa agenda reformasi pada PRU15 kelak. —AZLINA ABDULLAH/The Star

PAKATAN Harapan (PH) dicadangkan untuk menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam usaha untuk membawa agenda reformasi.

Menerusi kenyataan bersama dikeluarkan oleh 13 pemimpin sayap dan cabang PKR Pahang pada Isnin, semua parti dalam PH bersikap dan tidak prejudis terhadap cadangan berkenaan mewakili suara akar umbi.

"Pada PRU14 yang lalu, logo Keadilan dipersetujui bersama untuk digunakan mewakili PH sepanjang kempen dan parti gabungan itu mencipta sejarah dengan memenangi PRU14 dan berjaya membentuk kerajaan

"Walaupun PH mempunyai logo sendiri, namun ia masih belum dikenali ramai terutama di kawasan pedalaman Semenanjung, Sabah dan Sarawak," ujar kenyataan tersebut.

Cadangan itu dibuat oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan Pahang, Mohd Mustaqim Abd Jalil; Ketua Wanita PKR Pahang, Barirah Mohd Mokhtar; Ketua PKR Cabang Indera Mahkota, Lee Chean Chung; Ketua PKR Cabang Paya Besar, Wan Fauzuldin Wan Samad; Ketua PKR Cabang Pekan, Mohd Kamal Yusof dan Ketua PKR Cabang Rompin, Jamal Masri.

Turut sama, Ketua PKR Cabang Maran, Bostamin Bakar; Ketua PKR Cabang Bera, Bob Manolan Mohamad; Ketua PKR Cabang Kuala Krau, Mohamad Hafez Harun; Ketua PKR Cabang Bentong, M Shanmuhanathan, Ketua PKR Cabang Cameron Highlands, Tan Wei Wun; Ketua PKR Cabang Raub, G Sivanandar serta Ketua PKR Cabang Temerloh, Zulfikar Ali Ariffin.

Tambah kenyataan itu, memandangkan PRU15 kian hampir, PH kesuntukan masa untuk memperkenalkan logo parti berkenaan dan akan memberi risiko sekiranya diguna pakai sewaktu pilihan raya kelak.

"Jika PH berjaya membentuk kerajaan selepas PRU15, kami mempunyai banyak masa dan peluang untuk memperkenalkan logo PH pada mana-mana PRK," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

PKR, PH, Pahang, PRU15, logo