MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menolak saman pemula Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mencabar pelaksanaan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 (Akta MKN 2016).
Peguam yang mewakili Anwar, J Leela memaklumkan pengurusan secara atas talian di depan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid itu turut disertai Peguam Kanan Persekutuan S Narkunavathy yang bertindak bagi pihak MKN dan kerajaan selaku defendan.
Leela menjelaskan, hakim membuat penolakann tanpa perintah untuk kos berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan bahawa Akta MKN 2016 adalah sah dan berperlembagaan.
"Mahkamah Persekutuan pada 6 Ogos telah mengeluarkan perintah supaya kes saman itu dilupuskan di Mahkamah Tinggi dan berdasarkan perintah tersebut, Hakim Ahmad Kamal menolak saman pemula berkenaan," kata Leela.
Dalam keputusan majoriti 5-2, Mahkamah Persekutuan memutuskan Akta MKN 2016 adalah sah dan berperlembagaan selepas menjawab persoalan perundangan mengenai keperlembagaan akta itu yang dibangkitkan anwar berkaitan saman pemula tersebut.
Persoalan perundangan itu didengar semula selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 September lalu membenarkan permohonan Anwar untuk mengetepikan satu keputusan majoriti pada 11 Februari yang enggan menjawab persoalan perlembagaan berhubung kesahan akta berkenaan.
Pada 11 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 5-2 enggan menjawab persoalan perlembagaan yang dibangkitkan Anwar mengenai MKN.
Anwar memfailkan saman pemula pada 2016 untuk mencabar perlembagaan MKN, dengan mendakwa pelaksanaannya tidak berperlembagaan dan menamakan MKN dan kerajaan sebagai defendan.
Pada 14 Mac 2019, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Anwar mengikut Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, merujuk perkara itu ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan empat persoalan perlembagaan. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram