Tarik balik lesen memandu golongan warga emas pilihan terakhir


  • Primer
  • Ahad, 26 Sep 2021

KA Siong menegaskan ramai pemandu berusia lebih 70 tahun menunjukkan kemampuan memandu lebih baik. — FAIHAN GHANI/The Star

MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menegaskan langkah menarik balik atau mengehadkan lesen kepada golongan warga emas merupakan pilihan terakhir selepas tahap kecergasan seseorang untuk memandu disahkan secara telus menerusi satu ujian yang diiktiraf.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu, Ka Siong berkata, ramai pemandu berusia lebih 70 tahun mempamerkan kemahiran memandu lebih baik berbanding pemandu lebih muda.

"Satu sudut yang lebih meluas, lebih menyeluruh termasuk keperluan pergerakan dan faktor sosioekonomi lain patut difikirkan, bukan hanya faktor usia," jelas beliau.

Sebelum ini dilaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencadangkan kepada kerajaan supaya mengehadkan pengeluaran LKM kepada warga emas memandangkan faktor kesihatan golongan berkenaan boleh menyumbang kepada kemalangan jalan raya.

Tambah Ka Siong, keistimewaan Lesen Memandu Malaysia (LMM) diberikan oleh pihak berkuasa pengangkutan jalan sebagai satu akreditasi kepada seseorang yang mempamerkan kebolehan untuk mengendalikan sesebuah kenderaan di atas jalan raya dengan memuaskan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Ujar beliau lagi, Seksyen 30 Akta 333 juga menyatakan pemegang lesen boleh menyerahkan lesen mereka di pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) secara sukarela atas faktor kesihatan yang mungkin boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.

"Berkenaan laporan yang mencadangkan untuk mengehadkan pengeluaran Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau lebih dikenali sebagai 'cukai jalan' kepada mereka yang berumur 70 tahun dan ke atas, seseorang individu boleh sahaja meminjam kenderaan pemilik lain untuk mengelak peraturan itu," menurutnya.

Selain itu, Ka Siong berkata, sebarang perubahan dasar berkaitan LMM dan LKM perlu ditangani secara sistematik, pendekatan berasaskan bukti dan ditangani secara berpandangan jauh.

"Dengan menafikan keperluan seorang pemandu untuk memandu atas alasan faktor umur mereka atau bukti yang terpencil atau menggunakan anekdot adalah satu diskriminasi," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

LLM, LKM, warga emas, lesen