Institut memandu dibenarkan beroperasi semula


  • Primer
  • Selasa, 07 Sep 2021

WEE Ka Siong mengingatkan bahawa sebarang ketidakpatuhan SOP yang telah ditetapkan boleh diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). — Bernama

INDUSTRI latihan pemanduan (ILP) kenderaan motor di seluruh negara dibenarkan beroperasi dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) secara janji temu mulai Khamis, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Menurutnya, walaupun institut memandu (IM) boleh mula beroperasi mulai Khamis, proses pengujian bagi mendapatkan lesen memandu berkaitan hanya akan bermula pada 17 September.

“Tempoh masa ini diperuntukkan kepada pihak IM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk bersedia sepenuhnya bagi mengelakkan isu-isu berbangkit yang boleh memberi kesan negatif kepada calon,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, kebenaran yang telah mendapat kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu tertakluk kepada pematuhan beberapa perkara.

“Pematuhan sepenuhnya ke atas prosedur operasi standard (SOP) PPN berfasa yang berkuat kuasa.

“Pekerja, tenaga pengajar dan calon telah lengkap menerima vaksin dengan mengemukakan sijil digital vaksinasi Covid-19 dan kad pengenalan sebagai pembuktian.

"Syarikat hanya dibenarkan beroperasi dengan kapasiti pekerja berdasarkan peratusan pekerja yang telah lengkap menerima vaksin dan beberapa pematuhan lain yang telah ditetapkan," katanya.

Beliau turut yang mengingatkan bahawa sebarang ketidakpatuhan SOP yang telah ditetapkan boleh diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Terdahulu, pengusaha IM di negara ini mengalami situasi perit susulan arahan penutupan operasi pusat latihan tersebut sejak hampir empat bulan lalu akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selain terpaksa menampung kos operasi tinggi, IM juga terpaksa menangguhkan latihan ratusan calon yang sedang dalam proses untuk mendapatkan lesen memandu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

ILP, Institut Memandu, PPN, JPJ, Akta 342, MKN, Wee Ka Siong