Polis parah bertembung suspek tanpa lesen memandu


  • Tular
  • Jumaat, 10 Sep 2021

GAMBAR anggota terbaring di atas katil di hospital berserta motosikalnya yang terbalik itu tular di media sosial. 

TULAR di media sosial apabila seorang anggota polis cedera parah selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan suspek yang dikejarnya dalam kejadian yang berlaku di Penaga, Kepala Batas, Pulau Pinang awal pagi Khamis.

Akibat pelanggaran tersebut, anggota polis terbabit dilaporkan terseret sejauh 20 meter di atas jalan tar sebelum terjatuh ke dalam longkang.

Dalam kejadian jam 1 pagi Khamis, anggota polis berpangkat Koperal berusia 30 tahun itu patah tulang bahu kanan dan luka pada beberapa bahagian badan.

Gambar anggota terbaring di atas katil di hospital bersama motosikalnya yang terbalik turut tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, anggota berkenaan bersama beberapa anggota polis yang lain sedang melakukan tugasan rondaan Task Force Op Covid-19 apabila beliau terserempak dengan seorang lelaki yang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.

Sebaik anggota polis itu memperkenalkan diri, penunggang motosikal berkenaan bertindak memecut motosikal menyebabkan anggota polis mengejarnya.

“Bagaimanapun, sewaktu tiba di satu simpang jalan, motosikal lelaki itu telah berlanggar dengan motosikal anggota polis yang berada di sebelah kanan menyebabkan anggota itu terseret sejauh 20 meter dan terjatuh ke dalam longkang,” kata Noorzainy pada Jumaat.

Noorzainy berkata, lelaki berusia 20-an yang cuba melarikan diri itu bagaimanapun berjaya ditahan di kawasan berhampiran.

“Pemeriksaan lanjut ke atas lelaki itu mendapati dia tiada lesen memandu namun tidak membawa apa-apa barang salah dan ujian saringan air kencing mendapati dia juga negatif dadah," katanya.

Anggota polis yang cedera itu dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk rawatan lanjut, manakala lelaki tersebut turut mengalami calar pada badan.

Noorzainy berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram