PEMIMPIN veteran DAP, Lim Kit Siang 'mengakui' gembira dengan pelantikan Khairy Jamaluddin sebagai Menteri Kesihatan.
Menerusi satu kenyataannya yang dikeluarkan pada Jumaat, pelantikan Khairy merupakan satu-satunya berita baik dalam pembentukan barisan Kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
"Semua rakyat Malaysia mahu dan mengharapkan Khairy berjaya dalam mengemudi perang melawan Covid-19 yang mengancam negara dan saya tidak segan untuk mengakui bahawa saya adalah salah seorang daripadanya.
"Saya akan terus melontarkan pandangan dan kritikan terhadap Khairy dalam usahanya untuk memerangi Covid-19, bukan kerana saya mahu beliau tersungkur gagal tetapi sebaliknya untuk melihat beliau berjaya," ujarnya.
Tambah Kit Siang, ini adalah masa yang terbaik bagi Khairy membuktikan keupayaannya sebagai Menteri Kesihatan.
"Sejak beberapa hari lalu, saya berkali-kali menggesa Khairy untuk menjelaskan kedudukan sebenar berhubung kes kematian berkaitan Covid-19, terutamanya berhubung masalah tunggakan (backlog).
"Pengurusan mayat di hospital kerajaan masih belum dianalisis dan dilakukan bedah siasat kerana isu ini diselubungi misteri dan memberi kesan terhadap kredibiliti kerajaan serta Khairy sendiri dalam mepersembahkan data berkaitan Covid-19.
"Ini adalah masa terbaik untuk Khairy berterus-terang tentang situasi sebenar berhubung kematian akibat Covid-19 sejak zaman Menteri Kesihatan sebelum ini," menurut beliau lagi.
Kit Siang juga menuntut penjelasan daripada Khairy punca laman web baharu, CovidNow hanya dikemaskini selepas pukul 6 pagi pada Jumaat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram