TATKALA Perdana Menteri Datuk Ismail Sabri Yaakob memberi tempoh selama 100 hari kepada anggota Kabinetnya untuk membuktikan prestasi masing-masing, Lim Kit Siang begitupun hanya memberi tempoh sebulan kepada Khairy Jamaluddin sebagai indeks prestasi utama (KPI) terhadap Menteri Kesihatan itu.
Pemimpin veteran pembangkang DAP itu berkata, Khairy telah berjanji untuk bersikap telus serta memberi data lebih terperinci berkaitan Covid-19 kepada orang ramai.
Malah katanya, Khairy juga telah berjanji untuk menangani beberapa masalah dan melakukan inisiatif bagi melancarkan operasi Covid-19.
Kit Siang berkata, ini termasuk dengan memperuntukkan lebih banyak vaksin, tenaga kerja dan peralatan perubatan ke lima negeri - Sabah, Johor, Kedah, Pulau Pinang, dan Kelantan - yang mencatat peningkatan pesat dalam kes Covid-19 harian.
Namun, katanya, ada perkara yang Khairy terlepas pandang dalam sidang medianya sebagai Menteri Kesihatan pada Rabu iaitu kes baharu Covid-19 yang meningkat setiap hari serta jumlah kematian tertinggi di tengah-tengah peningkatan kadar vaksinasi.
“Tiada tanda-tanda kecenderungan penurunan kes dan kematian harian baharu akibat Covid-19, manakala kematian tertinggi direkodkan sejak 15 Jun ketika Pelan Pemulihan Negara (PPN) diumumkan.
“Ketika itu, terdapat 5,419 kes baharu Covid-19 setiap hari dan 101 kematian, dengan jumlah terkumpul sebanyak 667,976 kes dan 4,069 kematian akibat wabak itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Kit Siang berkata, ini bermaksud sejak pengumuman PPN, kes baharu Covid-19 telah meningkat 2.64 kali ganda sementara kes kematian pula telah meningkat 4.2 kali ganda.
“Kes Covid-19 baharu setiap hari melepasi angka 20,000 pada 5 Ogos.
“Sejak itu, terdapat 18 hari dengan kes baru setiap hari lebih dari 20,000 (mencapai puncak 24,599 pada 26 Ogos), enam hari dari 19,000 hingga 20,000 kes dan dua hari masing-masing dari 18,000 hingga 19,000 kes dan 17,000 hingga 18,000 kes,” katanya.
Malaysia pada Rabu mencatatkan 18,762 kes baharu Covid-19 dengan 278 kematian.
Mengulas lanjut, Kit Siang berkata, kes baharu dan kematian akibat Covid-19 berada pada tahap sangat tinggi, manakala beliau tidak dapat memastikan sama ada ia akan semakin meningkat mahupun menurun.
Beliau tidak menolak kemungkinan Malaysia bakal menduduki tangga ke-21 sebagai negara paling terkesan akibat wabak itu, mengatasi dua negara lain iaitu Iraq dan Belanda, ketika sambutan Hari Malaysia ke-58 pada 16 September ini.
“Kita juga dijangka akan melepasi angka 17,000 bagi kematian Covid-19 hari ini dan akan melepasi angka 20,000 pada Hari Malaysia ke-58.
“Adakah akhir bulan ini akan menyaksikan Malaysia mengalami kemerosotan laju untuk kes harian baharu dan kematian akibat Covid-19?” soalnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram