PEMIMPIN veteran DAP, Lim Kit Siang menyeru tiga parti pembangkang lain iaitu Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Ikatan Demokratik (Muda) untuk menyokong serta menandatangani memorandum Transformasi dan Kestabilan Politik.
Menurut Kit Siang, langkah itu adalah demi masa depan yang baik bagi rakyat negara ini.
"Rakyat Malaysia tanpa mengira etnik, agama, wilayah atau ideologi politik perlu memastikan bahawa perjalanan MoU itu menetapkan semula hala tuju negara ke arah pemulihan ekonomi dan sosial dalam era pasca Covid-19 selain menyelamatkan Malaysia.
"Kami ingin memenuhi impian Malaysia untuk negara ini menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia dan untuk menunaikan hasrat Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj agar Malaysia menjadi sinar cahaya dalam dunia yang kelam dan terganggu,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Isnin lalu, kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) memeterai MoU berkenaan bagi membentuk kerjasama dwi-partisan yang kukuh selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Dalam perkembangan berkaitan, Kit Siang turut menegaskan blok pembangkang akan terus 'bersuara' di Parlimen meskipun sudah menandatangani MoU terbabit.
Ujar Kit Siang, mereka akan tetap mengangkat keadilan, kebebasan, kemajuan serta kemajuan seperti dilakukan selama ini.
"MOU ini juga menimbulkan kebimbangan bahawa ia akan menjadi tanda berakhirnya era pembangkang di Parlimen.
"Tidak dapat disangkal, MOU CSR boleh menemui jalan buntu kerana ia bergantung kepada tawaran dan persetujuan kedua-dua belah pihak," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram