KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengenal pasti sekolah-sekolah terpilih yang akan dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) kepada murid sekolah.
Menurut Menteri Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, urusan pendaftaran murid sekolah bagi tujuan vaksinasi akan dilakukan KPM dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pasukan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF).
Jelas beliau, KPM juga akan membantu dalam menyediakan petugas dan keperluan logistik untuk tujuan tersebut.
“Kerjasama strategik KPM dan KKM pastinya dapat mempercepatkan pelaksanaan vaksinasi kepada murid sekolah.
"KPM juga komited untuk melakukan yang terbaik dalam melaksanakan perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di Facebooknya pada Isnin.
Sementara itu, beliau juga memberuitahu seramai 323 murid berusia 16 dan 17 tahun dari SMK Putrajaya Presint 8 (1) menjadi kumpulan pertama menerima vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Katanya lagi, secara keseluruhan terdapat seramai 377,591 murid berumur 16 tahun dan 371,676 murid berusia 17 tahun di seluruh negara.
Terdahulu, Mohd Radzi bersama Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menghadiri kick-off untuk remaja di SMK Putrajaya Presint 8(1), Putrajaya pada Isnin.
Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan 1 yang juga Pengerusi Pasukan Bertindak Imunisasi Covid-19 Remaja (CITF-A), Datuk Dr Noor Azmi Ghazali. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram