Najib ajar kerajaan cara bantu rakyat buat duit


  • Politik
  • Selasa, 21 Sep 2021

NAJIB berkongsi pendapat bagaimana kerajaan boleh membantu rakyat susah dalam satu hantarannya di Facebook. — The Star

KERAJAAN disarankan supaya memperkenalkan program kepada bank untuk membiayai pelaburan saham oleh rakyat Malaysia, kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Jelas beliau, ia bagi membolehkan rakyat membina kekayaan jangka panjang dan pada masa sama mengambil kesempatan ke atas pasaran saham Malaysia yang kini berada di bawah nilai berbanding negara-negara lain.

"Ekonomi negara mula dibuka semula manakala harga komoditi keluaran Malaysia serta eksport barangan pembuatan negara masih kukuh.

"Pasaran saham Malaysia juga pernah menjadi kedua paling corot dalam dunia pada tahun ini, dan meskipun mencatatkan sedikit peningkatan selepas kerajaan bertukar bulan lepas, ia masih di kedudukan keenam paling corot di dunia," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Tambah beliau lagi, pada ketika ini, harga saham berada pada paras rendah, yang bermakna ada banyak syarikat membayar dividen yang lebih tinggi berbanding caj perkhidmatan sebenar bank.

Jelas Najib lagi, kadar saham tempatan cuma 1.9 peratus setahun bagi simpanan tetap (FD) tiga tahun ketika ini manakala banyak saham-saham "bluechip" (saham kukuh) seperti Tenaga (4.1 peratus), Maybank (5.6 peratus) dan Top Glove (5.7 peratus) diramal membayar dividen yang lebih tinggi.

“Oleh itu, saya mencadangkan kerajaan boleh memperkenalkan program kepada bank-bank Malaysia agar membiayai 70 peratus daripada pembelian saham dengan kadar caj perkhidmatan sebenar sebanyak 3 peratus bagi setiap rakyat yang ingin membuat pelaburan dalam senarai saham yang telah disyorkan penganalisis kewangan dan dibenarkan.

“Ini samalah seperti skim pinjaman ASB (Amanah Saham Bumiputera) yang sudah dilaksanakan sejak dahulu lagi," ujarnya.

Hurai beliau lagi, rakyat membina kekayaan secara jangka masa panjang apabila harga saham naik. Jika tidak naik pun, kadar dividen masih boleh membiayai kos faedah.

Jelasnya, sekarang merupakan peluang bagi membolehkan seluruh rakyat turut terlibat bersama-sama dalam pemulihan ekonomi negara menerusi pembelian saham, lebih-lebih lagi pasaran saham melambangkan keyakinan dan kecergasan ekonomi.

“Memandangkan pasaran saham melambangkan keyakinan dan kecergasan ekonomi, kerajaan perlu melaksanakan langkah yang mampu menambah keyakinan pelabur untuk menjadikan pasaran saham Malaysia lebih dinamik, lebih menarik dan lebih merangsang perhatian pelabur

"Antara langkah yang dicadangkan Najib, ialah untuk kerajaan sekali lagi menggantung ‘jualan singkat yang dipantau’ (regulated short selling) serta ‘pinjaman sekuriti’ (script borrowing and lending) untuk sekurang-kurangnya enam bulan, seperti dilaksanakan tahun lalu," katanya.

Menurut beiau, ia bertujuan bagi menstabilkan pasaran saham dan melindungi pelabur runcit.

"Proses mendapatkan kelulusan Suruhanjaya Sekuriti dalam semua urusan syarikat tersenarai perlu dipercepat dan dipermudah.

“Saya mendapat maklumat bahawa tempoh kelulusan oleh Suruhanjaya Sekuriti pada masa ini memakan masa terlalu lama dan ini menjadi penghalang bagi syarikat-syarikat tersenarai tempatan untuk bergerak dengan lebih laju bagi aktiviti-aktiviti perkembangan perniagaan mereka," katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Najib, kerajaan, ekonomi, duit, bank