Akta cegah 'katak' perlu pakej 'dakwa dan hukum'


  • Massa
  • Isnin, 13 Sep 2021

ISU ‘katak melompat' dalam lanskap politik negara bukanlah sesuatu yang baharu dan telah dibahaskan serta dibincangkan sejak dahulu lagi.

Masalah ini dilihat semakin parah dan membimbangkan, terutamanya selepas negara menyaksikan pertukaran tiga orang Perdana Menteri sejak 2018 akibat daripada perbuatan sebilangan Ahli Parlimen melompat parti.

Berdasarkan statistik, bilangan ahli Parlimen Malaysia melompat parti selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu adalah seramai 39 orang, paling ramai dalam sejarah sejak lebih 60 tahun lalu.

Disebabkan itu, rakyat mendesak agar satu akta yang menghalang Ahli Parlimen daripada melompat parti dengan sewenang-wenangnya diwujudkan supaya mereka tidak sesuka hati mengkhianati mandat yang diberikan oleh pengundi.

Felow Kanan Majlis Profesor Negara, Profesor Dr Jeniri Amir berkata, pelaksanaan akta anti lompat parti adalah amat penting terhadap sistem demokrasi negara dan juga rakyat dalam jangka masa panjang.

Selain itu, menurutnya akta ini juga dapat mengembalikan kepercayaan rakyat kepada sistem demokrasi negara yang sudah lama tercalar.

“Jika akta ini dikuatkuasakan, ia bukan sahaja dapat menyekat Ahli Parlimen daripada melompat parti, tetapi juga dapat menyelamatkan sesebuah kerajaan daripada tumbang begitu sahaja akibat perbuatan melompat ini," katanya.

Jeniri berkata, akta tersebut haruslah diperhalusi secara terperinci secara mendalam merangkumi kesemua kemungkinan yang boleh timbul, contohnya seperti apa yang berlaku ketika parti Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan (PH) tahun lalu yang menyaksikan kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu tumbang.

“Bagaimana pula jika sesebuah parti itu berpindah sokongan, adakah ini juga akan diambil kira dalam akta itu nanti atau ia hanya tertumpu kepada wakil rakyat yang melompat parti sahaja? Jika itu berlaku, masalah ini tidak akan selesai,”

“Jika ahli politik ini betul-betul komited untuk mewujudkan satu satu sistem demokrasi yang matang, mantap dan maju, saya fikir semua reformasi ini harus dilakukan dengan kadar segera, termasuk tujuh tawaran yang disebut oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin tempoh hari,” katanya.

Jangan tunggu lama-lama

Pakar Perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata tidak perlu menunggu lama untuk menggubal Perlembagaan Persekutuan bagi melaksanakan akta anti lompat parti kerana ia boleh dilaksanakan menerusi undang-undang khas di Parlimen.

“Memang Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan ada menyebut tentang hak warganegara untuk membentuk berpersatuan tetapi Perkara 10 (2) (c) juga ada menjelaskan bahawa Parlimen boleh menyekat kebebasan tersebut melalui undang-undang.

“Dalam kes Nordin Salleh lawan Dewan Undangan Negeri Kelantan pada tahun 1992, mahkamah juga ada menyebut bahawa undang-undang tersebut boleh dilakukan di peringkat Parlimen.

"Jadi saya tidak lihat ada masalah untuk mewujudkan akta ini,” katanya merujuk kepada kes di mana Nordin Salleh dan Wan Najib Wan Mohamed yang dipaksa untuk mengosongkan kerusi mereka setelah menyertai Umno dari parti Semangat 46.

Dalam kes tersebut, Mahkamah Agung (Mahkamah Persekutuan kini) pada April 1992 telah memutuskan bahawa enakmen yang melarang anggota dewan daripada melompat parti bercanggah dengan hak kebebasan untuk seseorang itu berpersatuan seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Nik Ahmad Kamal berkata, akta anti lompat parti boleh dilaksanakan berdasarkan dasar bahawa perbuatan melompat parti adalah bertentangan dengan prinsip moral kerana jika seseorang individu itu bertanding di bawah parti tertentu dalam pilihan raya dan kemudiannya melompat ke parti lain, secara moralnya dia telah melanggar mandat yang diberikan oleh rakyat.

“Selalunya, rakyat mengundi seseorang calon itu bukanlah disebabkan reputasi yang ada pada dirinya, tetapi kerana dia mewakili parti tertentu.

“Kalaulah tiba-tiba mandat yang diberikan oleh rakyat itu ditukar kepada parti atau pakatan lain, atau menjadi ahli bebas yang kemudiannya menyokong parti yang bertentangan dengan bekas partinya, bagi saya dia telah mengkhianati mandat tersebut,”

Beliau berpendapat, adalah lebih mudah untuk melaksanakan undang-undang khas yang hanya memerlukan majoriti mudah berbanding menggubal perlembagaan yang memerlukan sokongan dua pertiga majoriti di Dewan Rakyat.

Dakwa dan hukum

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, akta anti lompat parti yang mahu diwujudkan harus datang dengan hukuman dan pendakwaan supaya Ahli Parlimen lebih takut untuk melompat parti.

“Akta seperti ini harus datang dengan hukuman dan pendakwaan, seperti tidak boleh bertanding dalam pilihan raya selama beberapa penggal, dan bukan sekadar mengosongkan kerusi sahaja.

“Barulah mereka (Ahli Parlimen) akan berfikir dua tiga kali sebelum meninggalkan parti mereka,” katanya.

Beliau berkata, Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang harus mencapai kata sepakat merentasi parti atau bipartisan bagi merealisasikan akta yang menurutnya sudah lama tertangguh ini.

“Walau apa pun yang ingin dilaksanakan, sama ada akta anti lompat parti atau recall election, kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang harus mempunyai keazaman politik untuk melakukannya bersama. Sudah tiba masanya,” kata Sivamurugan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram