Pahang mula vaksin remaja mulai 20 September


  • Primer
  • Jumaat, 17 Sep 2021

PEMBERIAN vaksin kepada golongan remaja di Pahang, telah bermula pada 15 September di lima hospital utama melibatkan remaja yang mempunyai penyakit. — Agensi

PROGRAM vaksinasi Covid-19 kepada pelajar berusia 16 dan 17 tahun di Pahang akan bermula 20 September, kata Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Nor Azimi Yunus (she).

Menerusi kenyataan di akaun Facebook, Dr Nor Azimi berkata Jabatan Kesihatan Pahang (JKNP) juga sedang melakukan penyelarasan dengan Jabatan Pendidikan negeri berhubung pemberian vaksin tersebut.

Beliau berkata pemberian vaksin kepada golongan remaja di Pahang, telah bermula pada Rabu lepas (15 Sept) di lima hospital utama melibatkan remaja yang mempunyai penyakit.

Hospital terlibat ialah Hospital Tengku Ampuan Afzan di Kuantan, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh, Hospital Pekan, Hospital Lipis dan Hospital Bentong.

Berhubung pemberian vaksin di Pahang, Dr Nor Azimi berkata setakat semalam, seramai 960,126 orang atau 81.7 peratus penduduk dewasa Pahang berjaya disuntik sekurang-kurangnya satu dos manakala 691,258 orang atau 58.8 peratus telah lengkap vaksinasi.

Dr Nor Azimi berkata 26,048 orang lagi telah berdaftar dan kini sedang menunggu untuk mendapatkan suntikan vaksin masing-masing.

"Namun masih ada seramai 189,626 orang atau 16.1 peratus yang masih belum berdaftar (untuk mendapatkan vaksin). Berdasarkan bekalan vaksin yang sangat baik, kita menyasarkan 100 peratus populasi dewasa berjaya disuntik satu dos menjelang akhir bulan ini,” katanya.

Menurut beliau berdasarkan prestasi sekarang, sasaran mungkin lambat untuk dicapai dan pelbagai strategi telah disusun di semua daerah bagi merancakkan proses vaksinasi termasuk melaksanakan pogram outreach di hampir semua ceruk kampung.

"Strategi walk in juga telah dan sedang diadakan di semua daerah. Namun kehadiran untuk suntikan dos pertama masih tidak mencapai sasaran. Peluang dan ruang untuk mendapat suntikan terbuka luas," katanya menambah kematian akibat Covid-19 sangat menyayat hati dengan sebahagian besar melibatkan individu yang belum divaksin.

Sehubungan itu, Dr Nor Azimi berharap penduduk Pahang yang masih belum menerima suntikan vaksin agar 'menyambut peluang' yang ada sekali gus dapat mengurangkan tahap keseriusan jangkitan dan kematian akibat virus Covid-19. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Covid-19, vaksin, remaja, kesihatan, Pahang