PH pertikai kenyataan Peguam Negara


  • Politik
  • Ahad, 05 Sep 2021

Kenyataan PH dikeluarkan secara bersama oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu. — Bernama.

KENYATAAN Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun bahawa undi percaya tidak perlu dilakukan di Parlimen pada 13 September nanti disifatkan biadab dan melanggar titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, demikian tegas Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

Pada masa sama, PH mendakwa kenyataan tersebut bertentangan dengan titah Seri Paduka Baginda ketika sesi menghadap di Istana Negara pada 17 Ogos lalu.

“Tuanku bertitah bahawa Perdana Menteri yang telah dilantik menurut Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan.

“Titah ini turut ditekankan Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan dipersetujui semua ketua parti malah Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun juga hadir menjadi saksi.

“Di manakah logik dan kewarasan beliau yang berkata kuasa Seri Paduka Baginda melantik Perdana Menteri boleh ditidakkan dengan satu usul undi percaya di Parlimen apabila pembentangan usul tersebut dititah sendiri oleh Tuanku?” soal mereka menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad.

Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Terdahulu, Idrus membuat kenyataan bahawa tiada keperluan untuk mengabsahkan pelantikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan yang telah dibentuk mengikut lunas undang-undang.

Beliau menjelaskan langkah mengabsahkan pelantikan perdana menteri adalah tidak selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan menidakkan kuasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Peguam Negara, keabsahan, Agong, PH